Sindiket 'simpan' wanita asing, tawar di online

Iklan
Antara wanita asing disyaki GRO yang ditahan sepanjang serbuan di pusat hiburan. (Gambar kecil: Zakaria)

PUTRAJAYA - Wanita asing yang terjebak dalam kegiatan maksiat disyaki diuruskan sindiket dengan ditempatkan di kediaman mewah bagi menyukarkan aktiviti haram itu mudah dihidu oleh pihak berkuasa.

Bagi memastikan kegiatan itu lebih 'selamat', sindiket menawarkan khidmat persundalan itu di aplikasi sosial seperti Telegram, Wechat dan WhatsApp.

Iklan
Iklan
Antara pautan secara dalam talian yang dikesan digunakan sindiket bagi mengatur pergerakan wanita asing.

Akaun di aplikasi itu akan menyenaraikan wanita asing di channel atau pautan yang ditetapkan sama ada bagi khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO), pelacur, tukang urut dan seumpamanya.

Tempahan dibuat secara online melalui saluran media sosial dan wanita-wanita ini dihantar ke lokasi yang ditetapkan selepas tempahan selesai.

Iklan

Dipercayai, wanita asing ini ditempatkan di rumah-rumah tertentu dan berpindah-pindah untuk mengelakkan dikesan.

Anggaran harga perkhidmatan bermula sekitar RM250 ke atas, bergantung kepada 'gred' dan kewarganegaraan wanita terbabit.

Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya tidak menafikan ada di antara wanita asing ini menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), pas pelajar, malah ada juga merupakan pasangan kepada warga tempatan untuk menyembunyikan aktiviti mereka.

"Berdasarkan statistik yang kita rekodkan, tangkapan wanita dipercayai terlibat dengan aktiviti maksiat ini rata-rata dari negara Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Myanmar,” katanya.

JIM juga membongkar kegiatan tidak bermoral yang berselindung di premis refleksologi.

Jelas beliau, JIM tidak menafikan khidmat wanita asing ini digunakan sindiket termasuk di pusat hiburan dan pusat refleksologi.

"Kita percaya sudah tentu ada rangkaian terlibat dalam sindiket berkenaan termasuk dalang, ejen dan sebagainya. Itu modus operandinya dan mereka licik dalam mengatur pergerakan.

"Wanita asing ini juga licik, mereka yang ada pas lawatan sosial ini bila ditahan di pusat hiburan mereka akan bagi alasan hanya datang berhibur, teman kekasih berhibur dan sebagainya. Itu alasan biasa,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sini, baru-baru ini.

Antara cubaan menyorok wanita asing ketika serbuan premis oleh JIM.

Beliau berkata, apabila operasi dibuat, jabatan itu perlu mengasingkan yang mana benar-benar pelancong atau sebaliknya.

"Sebarang tindakan perlu dilakukan dengan berhati-hati,” ujarnya.

Zakaria berkata, berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh JIM bagi aktiviti maksiat melibatkan warga asing, pihaknya secara undang-undang tidak mempunyai bidang kuasa khusus.

Bagaimanapun, kata beliau, JIM fokus kepada kesalahan melanggar syarat Pas Lawatan Sosial oleh golongan tersebut.

JIM melakukan pemeriksaan dokumen setiap warga asing yang ditahan sepanjang serbuan di pusat hiburan mahu pun premis refleksologi.

"Jika semasa pemeriksaan golongan tersebut didapati terlibat dengan sebarang pekerjaan atau aktiviti berbayar, kita akan melakukan tangkapan untuk mereka disiasat dan dikenakan tindakan kompaun atau dakwa dan diusir keluar selain disenarai hitam dari memasuki Malaysia selanjutnya bagi tempoh tertentu,” ujarnya.

Jelasnya, jika warga asing memiliki PLS yang sah dan pegawai serbuan berjaya menjumpai rekod-rekod kehadiran, pembayaran upah atau gaji, tangkapan akan dibuat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau memberitahu, jika warga asing tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan, bermaksud warga asing itu tidak memiliki pas yang sah akan disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63, manakala mereka yang tinggal lebih masa akan diambil tindakan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

DEPANI PROVOKASI, UGUTAN

Zakaria berkata, JIM serius menangani isu ini dengan melaksanakan Ops Gegar bagi mengesan dan menangkap mereka yang melanggar syarat PLS.

Proses dokumentasi juga dilaksanakan terhadap pengunjung mahu pun warga tempatan di premis hiburan yang diserbu.

"Melalui Ops Gegar, JIM turut menyasarkan premis-premis seperti pusat hiburan, pusat perjudian dan pusat urut yang berdasarkan risikan awal kita percaya terdapat kegiatan pelanggaran kesalahan imigresen,” katanya.

Tambahnya, JIM juga berdepan dengan ancaman keselamatan ketika pelaksanaan operasi dilaksanakan ke atas premis-premis ini.

"Di sini juga perlunya kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti PDRM.

"Ada pegawai kita yang terima ancaman seperti provokasi, amaran jangan kacau tempat dan sebagainya. Kita buat (operasi) berdasarkan aduan awam dan memerlukan tindakan diambil.

"Tapi pada masa sama pasukan serbuan perlu jaga keselamatan.

"Namun, setakat ini perkara sedemikian masih terkawal selain kita kerjasama rapat dengan PDRM, kalau ada pegawai kita terima ancaman, kita buat laporan,” ujarnya.

JIM melakukan pemeriksaan dokumen setiap individu yang ditahan sepanjang serbuan di pusat hiburan.

Menurutnya lagi, JIM juga mengambil pendekatan terhadap pegawainya agar tidak memberi tindak balas negatif ketika berdepan provokasi.

Dalam pada itu, dedahnya, sebanyak 518 operasi serbuan di pusat hiburan dan pusat urut dilaksanakan JIM pada tahun ini setakat November lalu.

"Sepanjang operasi itu, 7,683 orang telah diperiksa dan 3,587 orang ditahan,” katanya.

MAJIKAN KENA TINDAKAN

Kata Zakaria, sepanjang operasi ini, majikan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Tindakan langsung yang kita laksanakan semasa operasi penguatkuasaan terbahagi kepada tiga iaitu langgar syarat pas, tiada pasport atau dokumen perjalanan serta tinggal lebih masa.

"Dalam ketiga-tiga keadaan ini, warga asing terlibat akan ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tempoh tidak lebih 14 hari untuk tujuan siasatan dan keputusan tindakan lanjut akan ditentukan oleh Timbalan Pendakwa Raya sama ada mereka dikompaun atau didakwa di mahkamah,” kata beliau.

Jelasnya, bagi golongan majikan atau pelindung, berdasarkan kepada bukti semasa serbuan, mereka boleh ditangkap kerana kesalahan melindungi di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 atau kerana kesalahan membenarkan imigran haram masuk ke premis di bawah kawalan seperti peruntukan Seksyen 55E akta yang sama.

Tegas beliau, jabatan itu tidak akan berkompromi dalam mengatasi kegiatan menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil termasuk tindakan mahkamah, kompaun serta usir.

"Kita tidak boleh leka, tindakan secara berterusan dan kita tetapkan tiada hari tanpa operasi,” katanya.

TIDAK KOMPROMI SOAL INTEGRITI

SEBAGAI Ketua Pengarah Imigresen baharu, Zakaria tekad membina imej jabatan yang lebih cemerlang untuk terus memperkukuh kepercayaan rakyat ke atas JIM.

Menurut Zakaria, beliau percaya kejayaan memerlukan satu strategi dan perancangan yang betul.

"Kejayaan tidak akan berlaku tanpa iltizam yang tinggi dan saya yakin dengan sokongan warga Imigresen, perubahan mampu dilakukan bagi melonjakkan kecemerlangan jabatan.

"Dalam usaha untuk memperkukuhkan mutu perkhidmatan dan memastikan kecekapan yang lebih tinggi di jabatan, saya telah menggariskan tiga fokus utama yang perlu ditangani segera iaitu pertama reformasi dan pemodenan proses kerja dan khidmat pelanggan, kedua ialah meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integriti serta ketiga iaitu memperkasa promosi dan publisiti,” katanya.

Jelas Zakaria, beliau bertekad untuk mengurangkan birokrasi yang tidak perlu serta meningkatkan kepuasan pelanggan melalui pendekatan perkhidmatan yang lebih mesra, cekap dan profesional.

"Agenda digitalisasi jabatan sedang dan akan terus dipergiatkan.

"Saya ambil contoh, isu tempoh mengeluarkan pasport. Rata-rata bila lawatan mengejut dibuat, saya dapat maklum balas positif daripada pelanggan yang berpuas hati dengan khidmat diberikan.

"Ada yang dapat keluarkan pasport dalam tempoh setengah jam dan itu satu pencapaian yang baik buat kami,” katanya.

Ujarnya, pengeluaran pasport Malaysia antara yang terbaik bagi tempoh pengeluaran dengan masa singkat jika dibandingkan dengan negara maju lain.

"Sedikit kelewatan disebabkan orang yang ramai hadir di premis. Tapi dalam proses awal hingga dapat pasport boleh dikatakan dalam tempoh satu jam. Jika pejabat yang kurang pelanggan hanya ambil masa kurang setengah jam.

"Proses pengeluaran pasport telah beralih. Jika dulu ambil masa hingga berbulan, kemudian ambil masa minggu dan hari. Terkini sejam, ini proses inovasi dengan penggunaan teknologi terkini yang mempercepatkan proses selain langkah pendigitalan,” ujar beliau.

Katanya lagi, hal integriti merupakan perkara yang tidak akan dikompromi.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau jawatan.

"Sebelum ini lebih 50 pegawai JIM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kes counter setting. Saya memberi tumpuan bagaimana kita hendak memulihkan imej JIM agar menjadi jabatan disegani dan tahap integriti yang tinggi.

"Pelbagai usaha dirancang untuk dilaksanakan dan saya sendiri turun berjumpa pegawai selain tindakan dibuat termasuk perubahan pusingan kerja dan sebagainya.

"Ini berkait juga dengan proses kerja dan kita sedang di peringkat susun semula prosedur di pintu masuk,” katanya.

Tambahnya, bagi membetulkan perspektif mengenai warga asing, tidak semua warga asing yang berada di Malaysia ini merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana mereka yang hadir ke negara ini menggunakan pelbagai pas yang sah.

"Sepanjang tahun 2023, JIM telah menguruskan kemasukan 30 juta warga asing dan sehingga November tahun ini, sebanyak 35 juta kemasukan warga asing telah diuruskan,” ujarnya.

-- INFO

(A) Statistik kes pusat hiburan/pusat urut tahun ini (setakat Nov)

- Jumlah operasi – 518

- Jumlah diperiksa – 7,683 orang

- Jumlah ditangkap – 3,587 orang

(B) Undang-undang

- Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (Langgar syarat pas)

- Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Tidak miliki pas)

- Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (Tinggal lebih masa)

- Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (membenarkan PATI berada dalam premis)

- Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (melindungi PATI)

(C) Statistik keseluruhan tangkapan PATI/majikan tahun ini (Jan-4 Disember)

- Jumlah operasi – 18,675

- Jumlah diperiksa – 156,935 orang

- Jumlah PATI ditangkap – 43,588 orang

- Jumlah majikan ditangkap - 1,729 orang

- Jumlah diusir – 42,018 orang

(D) Antara laporan media

i) 15 November 2024

KLANG - Kegiatan persundalan dengan menawarkan aktiviti seks dan berselindung di sebalik premis urut di sini, dibongkar.

Serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula jam 3 petang itu bertindak menyerbu tiga pusat urut serta sebuah hostel yang dijadikan kediaman pekerja tukang urut wanita asing.

ii) 11 November 2024

JOHOR BAHRU - Dua buah pusat hiburan dan bistro disyaki menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) untuk menemani lelaki minum dengan harga serendah RM50 dan pakej bawa pulang terbongkar dalam serbuan di Taman Mount Austin di sini.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 36 wanita Thailand berusia antara 21 hingga 47 tahun, ditahan dalam Ops Gegar pada jam 1.30 pagi.

iii) 5 Oktober 2024

IPOH - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menyerbu empat premis pusat hiburan karaoke yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Myanmar dengan bayaran antara RM450 hingga RM600 di sekitar bandar raya ini.

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata dalam operasi yang bermula 11.30 malam hingga 1 pagi itu, 19 GRO wanita dan 20 lelaki warga Myanmar berumur antara 19 hingga 35 tahun ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan dan menjadi pelanggan di pusat hiburan tersebut.

iv) 6 Julai 2024

GEORGETOWN - Aktiviti tidak bermoral warga asing disyaki yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan atau GRO terbongkar selepas pusat hiburan yang terletak di Georgetown itu, diserbu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang.

Dalam serbuan 10 malam itu, empat wanita warga Thailand dan seorang Vietnam ditahan ketika leka melayani pelanggan di pusat hiburan berkenaan.