KUALA NERUS - Seekor Itik Jambul atau ‘Tufted Duck’ (Aythya fuligula) yang muncul di tasik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Rabu lalu merupakan spesies burung hijrah dari utara yang dijumpai buat pertama kali di Terengganu.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA, Cornelius Anuar Abdullah McAfee berkata, kemunculan burung tersebut dianggap istimewa kerana ia merupakan burung yang berasal dari kawasan jauh iaitu 'north temperate zone' (seperti Rusia) yang jarang dijumpai di Malaysia selain belum pernah dilaporkan dilihat di Terengganu sebelum ini.
Beliau berkata, meskipun Musim Timur Laut (MTL) melanda negeri ini namun tidak menghalang burung tersebut yang berhijrah jauh dari Rusia sehingga berjaya tiba ke Terengganu dengan selamat.
"Sudah lama kumpul maklumat tentang spesies-spesies burung yang berada di Terengganu. Saya sudah hasilkan dua buku berkaitan burung untuk dijadikan senarai semak dan sebelum ini kita tak pernah jumpa spesies burung tersebut di Terengganu.
"Sebenarnya memang jarang dijumpai di Malaysia dan ini pertama kali Itik Jambul tersebut dijumpai di Terengganu. Lebih menarik sekali, Itik Jambul itu dilaporkan dijumpai di tasik UniSZA dan kejadian berkenaan berlaku pada petang Rabu lalu apabila rakan saya yang juga peminat burung terus menelefon saya dengan memberitahu bahawa dia ternampak seekor itik berada di tengah tasik.
"Sebaik saya sampai sahaja di lokasi, saya terus menangkap gambar menggunakan kamera dan setelah meneliti gambar ditangkap itu alangkah terkejutnya apabila mendapati ia merupakan Itik Jambul, spesies burung yang jarang dijumpai di negara ini.
"Memang rezeki saya dapat melihat kemunculan spesies burung itu yang berasal dari artik di mana ia berada di kawasan terletak jauh dengan negara ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anuar menyatakan Itik Jambul kebiasaannya menyelam sedalam tiga hingga 14 meter (10 hingga 46 kaki) untuk mencari makanan serta menghabiskan purata 20 saat di bawah air.
"Itik ini banyak makan hidupan dalam air seperti kupang, kerang, siput, dan moluska lain apabila ada. Ia juga makan tumbuhan air, terutama pada musim sejuk.
"Itik Jambul ini dilaporkan boleh hidup sehingga 45 tahun di alam liar," ujarnya.
Anuar memaklumkan Itik Jambul tersebut kebanyakan dijumpai di kawasan 'north temperate zone' selain suka berada di kawasan berhampiran air sama ada tasik kecil atau sungai besar.
Beliau menambah cuaca sejuk antara faktor penghijrahan Itik Jambul tersebut ke negara-negara di bahagian selatan.
"Burung itu membuat sarang berhampiran sempadan Artik iaitu beberapa negara termasuk Norway, Sweden dan Rusia dan ia berada tempat yang jauh dari sini (Malaysia). Apabila cuaca sejuk berlaku di sana maka itik itu akan berpindah ke bahagian selatan tetapi berdasarkan kajian itik itu biasanya behijrah ke Afrika Utara, negara-negara Eropah, India atau bahagian selatan China.
"Kedatangan Itik Jambul ke negara Asia Tenggara adalah sangat jarang sebab itulah memang sukar dijumpai spesies burung berkenaan di sini. Jadi kemunculan Itik Jambul di negara ini terutama di Terengganu merupakan fenomena yang unik kerana ia mampu datang dari jauh selain boleh sampai di sini dengan selamat.
"Berdasarkan rujukan menerusi buku 'A Field Guide to the Birds of Peninsular Malaysia and Singapore' dari Oxford University Press telah mencatatkan penemuan Itik Jambul di negara ini beberapa kali sejak 52 tahun lepas iaitu pertama kali dijumpai di Melaka pada tahun 1972; Pahang (1975), Perak (1999) dan negara jiran seperti Singapura pada tahun 1999.
"Bagaimanapun pada tahun lepas, ada pihak menjumpai Itik Jambul tersebut di Kelantan dan Pekan, Pahang. Jadi tahun ini pula, Terengganu merupakan negeri bertuah apabila ia dilaporkan buat pertama kali muncul di sini serta ia suatu penemuan yang sangat istimewa walaupun musim tengkujuh melanda ketika ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anuar berkata, burung migrasi mengembara jarak jauh setiap tahun dan ada yang menjelajah beribu-ribu kilometer.
Menurutnya, perubahan iklim telah memberi kesan kepada migrasi, di mana beberapa spesies kembali ke kawasan pembiakan di utara lebih awal setiap tahun kerana pemanasan global menyebabkan sumber makanan di kawasan pembiakan mereka tersedia lebih awal daripada biasa.
"Bagi itik jambul yang muncul di UniSZA, kita tidak pasti mengapa ia muncul tahun ini tetapi burung migrasi diketahui meneroka kawasan baharu. Kita juga telah melihat peningkatan penemuan spesies ini di Malaysia dalam dekad yang lalu.
"Selain Itik Jambul, spesies burung berasal dari artik yang turut dijumpai di UniSZA ialah burung Pacific Golden Plover (Pluvialis fulva) atau istilah Bahasa Melayu dikenali sebagai Rapang Kerinyut di mana lebih 100 ekor yang dijumpai berada di kawasan padang di universiti di sini.
"Kebiasaannya ia tiba pada bulan September atau lebih awal selain pulang semua ke utara pada bulan Mac.
"Burung tersebut akan berada dalam tempoh yang lama di UniSZA selama empat bulan sebelum pulang semula ke tempat asal di artik selepas cuaca kembali panas dan tidak lagi berlaku musim sejuk," katanya.
Anuar menjelaskan keadaan persekitaran kampus UniSZA yang menyediakan habitat yang selamat merupakan antara faktor penghijrahan spesies burung dari artik untuk tinggal lebih lama di sini.
Beliau berkata, UniSZA juga terus komited untuk melindungi alam sekitar menduduki tempat ke-12 di peringkat nasional dan ke-184 di peringkat global dalam UI GreenMetric World University Rankings, yang membandingkan kampus hijau dan kelestarian alam sekitar di kalangan universiti.
"Ini membuktikan usaha kami terhadap kelestarian alam sekitar. Tasik di UniSZA juga bersih dengan banyak sumber makanan.
"Sudah tentu, persekitaran yang bersih dan selamat di UniSZA, terutama kawasan paya adalah salah satu faktor yang menarik kedatangan spesies burung dari artik ini.
"Di UniSZA juga tiada sesiapa yang bertindak menganggu keberadaan Itik Jambul atau spesies burung dari artim di sini menyebabkan ia berasa selamat dan selesa untuk tinggal lebih lama sebelum berhijrah semula ke artik," ulasnya.
Justeru, Anuar menyatakan kehadiran Itik Jambul yang muncul di tasik UniSZA membuktikan bahawa kawasan di universiti berkenaan merupakan lokasi yang kondusif untuk hidupan liar dari kawasan jauh untuk menetap buat sementara waktu sebelum migrasi ke tempat asalnya semula.
"Bagi peminat burung, kemunculan Itik Jambul adalah peluang yang menarik untuk melihat burung yang jarang ditemui di Malaysia, walaupun ia adalah burung biasa di kawasan beriklim sederhana di utara.
"Pemerhatian burung semakin popular di kalangan rakyat Malaysia dan merupakan bahagian penting dalam ekopelancongan.
"Kehadiran Itik Jambul yang jarang dilihat amat dialu-alukan di UniSZA. Kami adalah salah satu universiti di Malaysia yang menawarkan program khas Edutourism tentang pemerhatian burung.
"Program ini memberi pendedahan kepada peserta tentang dunia burung khususnya di Terengganu serta kepentingannya dalam pemuliharaan hidupan liar, perlindungan habitat, dan ekopelancongan," jelas beliau.
Anuar yang juga Pengarah Pusat Antarabangsa UniSZA itu juga merupakan penulis buku dengan menggunakan nama pena sebagai Anuar McAfee telah menghasilkan dua buku berkaitan spesies burung dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Melayu dan Mandarin iaitu Birds Of Terengganu pada tahun 2017 dan Birds of Universiti Sultan Zainal Abidin pada tahun 2011.