Tun Musa 'payung' rakyat Sabah, bebas dari parti politik

Iklan
Musa dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

KOTA KINABALU - Tun Musa Aman sudah pasti tidak terikat dengan parti politik sebaik beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim berkata, ia jelas dalam perlembagaan bagi pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) harus bebas daripada parti politik.

Iklan
Iklan

"Ini dalam perlembagaan setiap orang yang dilantik sebagai TYT dia adalah bebas daripada politik, dia kena bebas daripada bersuara dalam politik kerana dia adalah 'payung' kepada rakyat di Sabah ini.

"Ibarat macam sultan, dia tidak boleh sesuka hati memerintah atau mengarah kepada orang politik. Orang politik dan Ketua Menteri ada kuasa eksekutifnya.

Iklan

"Kemudian TYT sebagai lambang kita, dia bebas tidak terikat dengan politik. Bererti bila Tun Musa menerima, memang dia sudah melepaskannya," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas wujud provokasi pihak yang mempertikaikan pelantikan Musa sebagai TYT Sabah yang baharu.

Dari kiri: Juil Nuatim dan Yahya.

Iklan

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, pelantikan Musa itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana ia dilaksanakan berdasarkan perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, Yahya yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengingatkan pihak tertentu supaya menghentikan segala tohmahan dan fitnah terhadap bakal Yang Di-Pertua Negeri Sabah.

Katanya lagi, Musa merupakan tokoh yang paling tepat dan sesuai dilantik kerana merupakan seorang tokoh yang berpengalaman dan banyak sumbangan terhadap pembangunan di Sabah.

"Tindakan memfitnah dan menghasut rakyat untuk membenci kepimpinan negara dan negeri yang juga melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim amat tidak wajar," katanya.

Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025 selepas Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepadanya pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.