KOTA BHARU - Sejumlah RM2.1 juta kerugian dialami polis Kelantan akibat 10 balai, empat pondok polis dan keseluruhan 17 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand terjejas banjir bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah itu membabitkan kerugian RM1.6 juta dialami akibat balai dan pondok polis terjejas banjir yang melibatkan kerosakan premis RM1.5 juta dan kenderaan (RM93,600).
Selain itu, peralatan komunikasi (RM13,650) juga alatan teknologi maklumat dan komunikasi (RM13,900).
"Balai-balai yang terjejas enam di Pasir Mas, dua di Tumpat dan masing-masing satu di Kota Bharu serta Pasir Puteh manakala pondok polis terjejas ialah dua di Pasir Mas sementara setiap satu di Kota Bharu serta Tanah Merah.
"Paras banjir naik antara 0.1 meter ke dua meter di balai dan pondok polis terlibat,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Pengurniaan Sumbangan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra kepada Mangsa Banjir warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Selain itu, Mohd Yusoff memberitahu, 17 pos PGA terjejas banjir pula membabitkan anggaran kerosakan premis bernilai RM504,675.
"Pos PGA terjejas banjir di Tumpat sebanyak enam pos iaitu Pos Ular, Simpangan, Nibong, Pisau Raut, Naga Ibu dan Kaloi.
"Sebanyak 11 lagi pos PGA di Pasir Mas iaitu Kubang Pak Hitam, Wakaf Zin, Pulau, Mek Gombak, Pak Atah, Salleh Berek, Pok Teh Kana, Terusan, Sharifah, Haiwan dan Ibrahim Pencen,” katanya.