Dua lelaki dicekup seludup beras, barangan runcit

Iklan
PGA menahan dua lelaki selepas dipercayai menyeludup beras, beras pulut hitam dan barangan runcit dalam dua kejadian berasingan pada Jumaat. Foto PGA

RANTAU PANJANG - Dua lelaki dicekup Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai menyeludup beras, beras pulut hitam dan barangan runcit dalam dua kejadian berasingan di sini pada Jumaat.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan pertama dilakukan pada jam 4 petang melibatkan seorang lelaki berusia 57 tahun oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu di Kampung Lubuk Gong di sini.

Iklan
Iklan

"Semasa penugasan Op Taring Wawasan suspek dikesan memandu kenderaan jenis pikap dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bungkusan beras dianggarkan seberat 1,460kg (kilogram) dan lebih 100kg beras pulut hitam dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam pikap terbabit tanpa dokumen yang sah," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan tersebut ke pasaran tempatan.

Ujarnya, anggaran nilai rampasan beras serta beras pulut hitam itu ialah RM6,540 dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Iklan

Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua pada jam 10 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 57 tahun dipercayai menyeludup pelbagai barangan runcit bernilai RM7,000.

"Suspek ditahan kerana memandu kenderaan jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan di sekat pintas Nibong, Tumpat.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai barangan runcit tanpa dokumen sah dan kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983," katanya.