PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan pemain sayapnya, Antony kehilangan keyakinan diri ketika beraksi dan dia sedia membantu mengembalikan sentuhan berbisa pemain itu.
The Red Devils telah membelanjakan £86 juta (RM487 juta) untuk Antony pada September 2022 dan dia gagal menyerlah untuk United setakat ini.
Dia dibelenggu masalah kecederaan musim ini dan hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam Piala Liga menentang Barnsley selain gagal meledak sebarang jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak April 2023.
Antony diberikan peranan dalam kesebelasan utama ketika menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Piala Liga pada Jumaat, namun, dia gagal membuktikan kemampuannya dengan persembahan cukup hambar.
Prestasi pasukan itu meningkat hanya selepas Amorim melakukan tiga pertukaran pada minit ke-55 termasuk membawa Amad Diallo menggantikan pemain sayap itu.
Amorim yang menyaksikan sendiri kebolehan Antony ketika membimbing Sporting Lisbon dibolosi sembilan gol dalam dua perlawanan menentang Ajax di bawah kendalian Erik ten Hag dalam Liga Juara-Juara 2021-22, percaya dia boleh membantu pemain itu mendapatkan semula prestasi itu.
"Dia memerlukan lebih keyakinan. Jika anda masih ingat Antony yang bermain di Ajax, dia tidak ada keyakinan untuk berdepan situasi satu lawan satu, tetapi dia akan bertambah baik.
"Dia bekerja keras terutamanya dalam permainan ini. Dia hanya perlu meneruskan kerja keras itu dan saya akan membantunya menjadi pemain yang lebih baik," katanya.