KOTA BHARU - Seramai 111 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terkesan dengan banjir di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, daripada jumlah itu Kelantan merekodkan anggota paling ramai yang terkesan dengan bencana tersebut iaitu seramai 58 orang diiukuti Kedah (21), Terengganu (19), Selangor (4), Perlis (4), Pahang (2), Akademi JPJ Wilayah Timur (2) dan Sabah (1).
"Ada di antara mereka terutama yang tinggal di Tumpat mengalami kerugian teruk apabila rumah ditenggelami banjir sehingga menyebabkan kerosakan barangan elektrik serta perabot," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu, beliau merasmikan Program Sumbangan Bantuan Banjir oleh Skuad Ihsan Madani JPJ Malaysia yang turut dihadiri oleh Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Pegawai Khas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Siti Fatma Omar.
Menurut beliau, anggota yang terkesan itu menerima bantuan berupa kelengkapan rumah, barangan elektrik serta bakul makanan.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli memberitahu, walaupun beberapa negeri dilanda banjir yang teruk namun aset serta fasiliti JPJ di seluruh negara tidak terjejas.
"Cuma yang terkesan anggota sahaja. Diharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi ujian tersebut.
"Kita juga turut memberikan sumbangan kepada golongan asnaf serta rakan media Kelantan yang terkesan," katanya.