JOHOR BAHRU - Dua buruh kanak-kanak bawah umur yang merupakan warganegara Filipina diselamatkan dalam Ops Mahir di sebuah kilang pembuatan di Senai pada Khamis.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi melibatkan sepasukan pegawai Unit Tindakan, Bahagian Penguat Kuasa, 20 Pegawai Pejabat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan empat pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara Negeri (JPN) Johor itu dilaksanakan pada jam 6.54 petang.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dijalankan selepas menerima maklumat berhubung sebuah kilang menggaji pekerja asing yang disyaki tidak memiliki dokumen sah dan penyalahgunaan pas serta permit.
"Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap 292 pekerja warga asing dan warga tempatan, seramai dua kanak-kanak bawah umur didapati bekerja di premis tersebut.
"Mangsa adalah seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 12 tahun dan 13 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa diselamatkan dan ditahan sebelum dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika di sini untuk tindakan lanjut.
Selain itu katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun yang merupakan pegawai sumber manusia di kilang tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
"JIM akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
"Tindakan tegas katanya, akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.