SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memperkenalkan pelekat khas program kutipan caj beg plastik bagi mengelak unsur penipuan dan kutipan tidak sah.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pelekat tersebut akan diedar secara percuma bermula 23 Disember ini bagi memudahkan pengguna mengenal pasti premis berdaftar yang menyertai program tersebut.
Menurutnya, sebanyak 801 premis di kawasan pentadbiran MBSJ telah berdaftar dengan program berkenaan sejak diperkenalkan pada 2017.
"Kempen Caj Beg Plastik ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MBSJ bagi mendukung aspirasi kerajaan Selangor ke arah negeri mesra alam dan lestari.
"Sehingga kini sebanyak 111 premis telah diisytiharkan bebas plastik manakala 690 premis lain masih mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik," katanya menerusi kenyataan.
Pada Jumaat, MBSJ melancarkan pelekat khas Program Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor disempurnakan Amirul Azizan di ibu pejabat MBSJ di sini.
Majlis turut dihadiri oleh wakil syarikat berdaftar dalam program itu.
Katanya, kutipan caj plastik akan dilaksanakan sebanyak empat kali setahun dan hasilnya akan disalurkan ke Akaun Tabung Kutipan Amanah Negeri Selangor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk projek inisiatif hijau dan kempen pemuliharaan alam sekitar.
Dalam pada itu, MBSJ menyeru komuniti bandar raya untuk menyokong premis-premis yang mempamerkan pelekat khas itu.
Ujarnya, langkah itu dapat membantu merealisasikan matlamat menjadikan Subang Jaya sebuah bandar yang lebih bersih, lestari dan mesra alam.