JOHOR BAHRU - Dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki terlibat sindiket penyeludupan migran diberkas dalam Ops Serkap di sebuah pangsapuri di Larkin Indah di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 37 dan 46 tahun ditahan di pangsapuri berkenaan yang dijadikan sebagai rumah transit sindiket penyeludupan terbabit pada jam 2.30 petang.
"Mereka bertugas sebagai penjaga rumah transit dan pemudahcara kepada mangsa-mangsa penyeludupan yang dibawa masuk ke Malaysia.
"Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan operasi dan tangkapan sebelum ini terhadap seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia melalui pintu masuk Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
"Siasatan awal yang dijalankan seterusnya membawa kepada serbuan ke atas sebuah pangsapuri yang dijadikan rumah transit warganegara Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Mohd Rusdi berkata, beberapa pasport warga Bangladesh dan wang tunai berjumlah RM14,500 dirampas serta sebuah kenderaan turut disita.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati juga mendapati aktiviti penyeludupan warga Bangladesh ke Malaysia ini dipercayai telah dijalankan sejak dua bulan lalu.
"Sindiket terbabit mengenakan bayaran sebanyak RM13,000 seorang bermula dari negara Bangladesh ke Malaysia melalui Singapura.
"Kedua-dua suspek yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150)," katanya.