KOTA BHARU - Mangsa yang terjejas banjir dan mengalami masalah geran kenderaan serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak hanya perlu tunjuk aplikasi MyJPJ jika ditahan semasa penguatkuasaan dilakukan.
Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan itu sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti.
"Semuanya sudah lengkap. Jadi kepada mereka yang lesen atau geran alami kerosakan atau hilang tidak perlu bimbang, semuanya ada di MyJPJ," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Sumbangan Bantuan Banjir oleh Skuad Ihsan Madani JPJ Malaysia yang turut dihadiri oleh Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah dan Pegawai Khas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Siti Fatma Omar.
Sinar Harian pada 6 Disember lalu melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua dokumen terbabit boleh diakses dalam aplikasi MyJPJ selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.
Menurutnya, dengan membuat pendaftaran di aplikasi terbabit agensi penguat kuasa seperti JPJ juga dapat menentukan kesahihan dokumen terbabit.