SUBANG JAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju sekiranya aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditangkap atau didakwa.
Menurutnya, beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat jika ia tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).
"Fahmi Reza, saya tidak setuju didakwa dan ditangkap kerana secara jujurnya saya merasakan bagi gesaan dan nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, dalam kes kritikan kepada Perdana Menteri, biar sahajalah.
"Tapi kalau kes membabitkan Raja-raja, ia di luar bidang kuasa saya. Mana yang Majlis Raja-Raja kata tak setuju, raja-raja disepak terajang macam itu, kerana tidak jawab dan mereka bukan dalam permainan politik.
"Kena ingat juga kadang hasutan itu menyentuh perasan agama yang kuat,” katanya semasa sidang akhbar yang diadakan di Dorsett Grand Subang, di sini pada Sabtu.
Polis telah merekod keterangan Fahmi untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekehkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ ) Bukit Aman selepas laporan diterima pihaknya pada Rabu.
Laporan dibuat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan yang dimuat di Facebook.