Siri Jelajah Mek Mulung terima sambutan hangat di Johor Bahru

Iklan
Pementasan teater Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Pementasan teater Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' di negeri ini berjaya mengangkat kesenian Mek Mulung yang telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, sambutan orang ramai terutama generasi muda terhadap pementasan teater tradisional Mek Mulung yang pertama kali diadakan di sini, cukup memberangsangkan.

Iklan
Iklan

Mohd Amran

"Mek Mulung Siri Jelajah 2 ini diteruskan ke Johor Bahru selepas dipentaskan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada bulan September lalu.

Iklan

"Pementasan di Johor mendapat kerjasama baik daripada Yayasan Zarith Sofea dan Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab).

"Program ini merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai warisan budaya tidak ketara yang memerlukan perlindungan segera peringkat UNESCO pada 5 Disember," katanya.

Iklan

Sebelum itu, beliau menyaksikan pementasan teater tradisional Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' di Permaisuri Zarith Sofea Opera House, di sini pada Rabu malam.

Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' dipentaskan selama dua hari pada 20 dan 21 Disember.

Mohd Amran berkata, pementasan Mek Mulung yang merupakan karya agung dan tradisional itu dilaksanakan JKKN menerusi dana Belanjawan 2024 bagi mengetengahkan karya seni dan sastera negara.

Katanya, setiap karya yang dipentaskan telah diberikan nafas baharu dengan suntikan elemen terkini dan janaan teknologi bagi menimbulkan rasa jenaka dalam kalangan penonton.

"Kita mahu merakyatkan teater tradisi dan mencari khalayak baharu terutama golongan muda yang mana mereka tidak begitu kenal dan memahami teater tradisi.

"Mek Mulung Siri Jelajah 2 ini amat sesuai dengan usaha JKKN memartabatkan serta memulihara teater tradisi Mek Mulung," katanya.

Gabungan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu

Pementasan Mek Mulung merupakan sebahagian daripada program perantisan JKKN.

Kumpulan ini disertai Artis Budaya Kumpulan Keseniaan JKKN Kedah, NGO Seni Budaya iaitu Persatuan Penggerak Seri Budaya dan Warisan Budaya Negeri Kedah (Akrab Kedah) dan Kumpulan Mek Mulung Kampung Wak Tepus (pengamal Mek Mulung asal).

Teater Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' merupakan karya yang cukup terkenal dalam dunia pementasan teater dan sering menjadi persembahan warisan budaya Melayu.

Dengan gabungan elemen tradisional dan kebudayaan Melayu, karya ini mengangkat nilai kebijaksanaan, keadilan, kesetiaan, pengorbanan, keberanian dan ketabahan seseorang selain nasihat yang bersifat tersurat dan tersirat sebagai pengajaran.

Kisah Mek Mulung Putera Cahaya Bulan bermula dengan Putera Cahaya Bulan, Raja Negeri Selindung mendapat firasat Permaisuri Puteri Nang Mara atau Mek Senik yang rupawan dan mempunyai kesaktian akan dilarikan oleh Raja Garasi yang memerintah benua Pakkain.

Pementasan teater Mek Mulung 'Putera Cahaya Bulan' di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House Johor Bahru.

Raja Garasi ingin menakluki Puteri Nang Mara kerana beranggapan bahawa Puteri merupakan penghalang kejayaanya.

Kemudian, Raja Garasi bersama dua pengasuhnya berjaya memasuki Kota Selindungan Bulan apabila Putera Cahaya Bulan dibunuh sebelum dihanyutkan ke sungai dan dirawat oleh Epong dan Edeng.

Sementara Puteri Nang Mara diseksa kerana enggan berkahwin dengan Raja Garasi, namun akhirnya Putera Cahaya Bulan berjaya menyelamatkan Puteri Nang Mara.

Sementara itu, penonton, Cham Rizqi Alfie, 33, berkata, ia merupakan pengalaman pertamanya menonton teater tersebut.

"Walaupun menggunakan dialek Utara namun persembahan teater amat mudah difahami dengan watak seperti Edeng dan Epong yang mencuit hati," katanya jurujual itu.

Mirza Mahmod, 34, pula menggambarkan ia satu pementasan kreatif dengan susunan muzik, lagu dan skrip yang teratur dan baik.

"Unsur lawak dan lagu terkini yang menjadi selingan membuatkan penonton tidak kering gusi, namun masih menerapkan unsur tradisi serta nilai moral yang bagus," kata eksekutif dari Ulu Tiram itu.

Pelajar Kolej dari Johor Bahru, Nur Qistina Batrisyia Rizalman, 19 berkata, dia tertarik dengan seni pementasan teater karya tempatan yang bagus dan lebih membanggakan apabila ia telahpun diiktiraf dunia.