SEREMBAN - Kerajaan tidak berjanji boleh menyelamatkan semua mangsa penipuan sindiket tawaran pekerjaan di luar negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun kerajaan tetap berusaha memberi bantuan sewajarnya.
"Jangan ingat kita boleh selamatkan semua. Saya tak janji kerajaan Malaysia boleh selamatkan semua. Ada yang dah mati pun.
"Jangan ingat kerajaan ada, kerajaan akan selamatkan mereka dan ibu bapa pun saya harap jangan ingat kerajaan Malaysia, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri, boleh melakukan suatu di luar kemampuan kami.
"Mana yang kami boleh buat, kami buat. Mana yang tak dapat, memang susah nak dapat," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pertandingan E-Sport (MLBB) Piala Tok Mat di sini pada Sabtu.
Apa yang penting katanya, rakyat negara ini terutama golongan muda diharap tidak mudah terpesona dan terpengaruh dengan tawaran gaji lumayan pekerjaan di luar negara yang diiklankan di media sosial.
Ujarnya, dengan keadaan negara tersebut, tidak mungkin mereka mampu memberikan gaji yang jauh lebih tinggi daripada yang dinikmati rakyat di negara ini.
"Kalau dibandingkan ekonomi negara kita dengan mereka, memang jauh tertinggal dan tak mungkin syarikat-syarikat di negara itu boleh tawarkan gaji sehingga ASD 5,000 sebulan.
"Gunakan akal fikiran dan kebijaksanaan. Tak mungkin mereka boleh tawarkan gaji lebih daripada gaji dinikmati rakyat di Malaysia," katanya.
Beliau turut menyatakan rasa kesal apabila masih ramai yang terpedaya termasuk lepasan universiti meskipun pelbagai peringatan termasuk program kesedaran telah diberi kerajaan.
Mohamad berkata, beliau tidak dapat berkongsi berapa ramai yang telah menjadi mangsa, namun ramai yang telah diselamatkan.
"Saya tak boleh beritahu berapa. Yang kita tahu bila ada laporan dan melalui risikan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada negara jiran, anggota ASEAN kerana hubungan kita amat baik dan mereka membantu seboleh mungkin," katanya.
Bagaimanapun katanya, bantuan diberi negara-negara berkenaan juga mempunyai had atau sekatan yang tidak dapat mereka lakukan.