SHAH ALAM – Kenangan manis buat sebuah keluarga apabila bapa membuat kejutan bernikah dengan wanita pilihan selepas dua minggu kawan baik sendiri menjadi menantu.
Menurut anaknya, Nur Najiha Ismail, 21, hasrat mendirikan rumah tangga baharu itu pada mulanya dirahsiakan daripada ahli keluarga lain dan hanya diketahui oleh suami.
Jelasnya, bapanya itu mula menduda sejak kematian isteri tercinta pada Ogos 2021.
"Saya dan adik-beradik lain semua tidak tahu. Bapa hanya beritahu suami beberapa minggu sebelum kami bernikah.
"Mereka memang rapat, kerja nelayan sekali, lepak dan makan semuanya sekali. Sikit-sikit keluar dengan ayah macam orang muda-muda lepak.
"Kadang-kadang saya akan melawak juga dengan suami, tetapi saya suka tengok persahabatan mereka,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, mengimbau detik memberitahu keluarga mengenai hubungan dengan suami, Sallim Mustafa, 26, Nur Najiha berkata, bapanya terkejut kerana kawan baik sendiri bakal menjadi menantu.
"Ayah tanya, macam mana boleh ‘sangkut’ bersama. Saya pula tidak nafikan masa mula-mula 'jual mahal' dengan suami padahal sebenarnya hati sudah lama berkenan,” jelasnya.
Nur Najiha yang kini seorang suri rumah berkata, suami masih berasa janggal memanggil bapa mentua dengan panggilan ayah.
"Sebelum ini panggil pak andak. Sampai sekarang suami masih panggil pak andak,” katanya.