SUBANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dengan menekankan kepentingan keterlibatan bersepadu antara negara anggota dan memastikan ASEAN kekal relevan dalam menangani cabaran global.
Beliau menekankan peranan Malaysia ketika bersiap sedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, dengan menitikberatkan keperluan usaha kolektif bagi memperkukuh kepusatan ASEAN serta menjalin kerjasama strategik dengan rantau lain termasuk Timur Tengah.
"Kita perlu mematangkan beberapa keputusan untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini sambil mengekalkan keterlibatan positif dengan pemain global seperti GCC.
"ASEAN mesti kekal padu dan bersatu. Hubungan dengan GCC telah membuahkan hasil, dan kita akan terus membina asas kukuh ini,” katanya pada satu sidang media di sini pada Sabtu.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Pada 13 Disember, Bernama melaporkan Sidang Kemuncak GCC-China yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 2025 semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN dijangka membentuk pakatan trilateral berpengaruh dan membuka potensi besar untuk kerjasama pelbagai hala merentasi sektor.
Menyentuh cabaran dalaman ASEAN, Anwar mengulangi komitmen blok itu terhadap rangka kerja Konsensus Lima Perkara (5PCs), khususnya dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.
"Dalam sesi terakhir yang kita adakan, kita membenarkan jiran dan pihak yang lebih mesra untuk terus terlibat dengan rangka kerja umum Konsensus Lima Perkara,” katanya. - Bernama