SYDNEY - Seorang pemandu bas maut manakala 13 penumpang cedera dalam kemalangan di lebuh raya utama menghubungkan Sydney dan Melbourne, lapor Xinhua.
Polis New South Wales (NSW) memaklumkan bahawa perkhidmatan kecemasan menerima laporan mengenai kemalangan antara sebuah bas dan kenderaan berat berhampiran bandar Kyeamba, sekitar jam 3.35 pagi waktu tempatan pada Sabtu.
Pemandu bas terbabit menerima rawatan daripada paramedik tetapi meninggal dunia di tempat kejadian, menurut kenyataan polis NSW.
Paramedik turut merawat 13 penumpang bas di lokasi kejadian dengan pelbagai kecederaan termasuk seorang lelaki disyaki patah kaki.
"Polis telah dimaklumkan bahawa tiada kecederaan yang mengancam nyawa,” menurut kenyataan itu.
Bas dan kenderaan berat itu dilaporkan sedang menuju ke arah utara di Lebuhraya Hume, lebuh raya utama yang menghubungkan Sydney dan Melbourne, sewaktu kemalangan berlaku.
Pemandu kenderaan berat itu tidak mengalami kecederaan tetapi telah dibawa ke hospital berhampiran untuk ujian berkaitan.
Polis memulakan siasatan bagi menentukan punca kemalangan. - Bernama