KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama polis berjaya menumpaskan kegiatan menyeludup petrol di Pasir Pekan, Tumpat pada Jumaat.
Dalam serbuan jam 10.30 malam itu, anggota penguat kuasa berjaya merampas 725 liter petrol dan menahan seorang suspek yang berada di tempat duduk penumpang kereta jenis Proton Gen2.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, intipan selama dua jam mendapati suspek dan rakannya telah membuat pengisian secara berulang di beberapa stesen minyak menggunakan aplikasi bagi menggelakkan dikesan.
"Semasa serbuan dilakukan, seorang lelaki sedang mengisi minyak bertindak melarikan diri manakala rakannya yang berada di dalam kereta itu berjaya ditahan," katanya pada Sabtu.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kereta itu telah menjumpai sejumlah besar tong jerikin berisi minyak petrol yang disimpan di bahagian but serta tempat duduk penumpang depan dan belakang.
Ujarnya, suspek gagal mengemukakan dokumen yang sah berkaitan bahan kawalan itu.
"Soal siasat turut mendedahkan suspek yang bertindak sebagai pembantu mengaku memiliki 725 liter petrol yang dirancang untuk diseludup ke negara jiran.
"Kes ini disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan operasi seperti ini bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan memastikan barang kawalan negara tidak diseleweng untuk keuntungan pihak tertentu," katanya.