KUALA TERENGGANU - Seramai 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes pukul secara bergilir-gilir seorang pelajar lelaki di kolej kediaman universiti berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kesemua pelajar berkenaan yang direman sejak Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.
"Suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya.
"Kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 12 pelajar universiti itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul membabitkan pelajar lelaki berusia 20 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan jam 6 petang pada Selasa selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.
Susulan itu, UMT berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit.
Pejabat Komunikasi Korporat universiti itu dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius insiden berkenaan.
Pada Khamis lalu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin memaklumkan saling tuduh-menuduh menjadi punca pergaduhan sehingga menyebabkan seorang pelajar UMT cedera dipukul 12 pelajar lain di kolej kediaman universiti itu, Ahad lepas.
Mohd Khairi berkata, bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendedahkan isu yang mencetuskan perbalahan atas sebab-sebab tertentu.