BALIK PULAU - Ibu kepada Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, yang hilang ketika keluar memukat ikan pada Selasa lalu berharap agar anak keempat daripada lima beradik itu ditemui selamat.
Hanita Ismail, 47, berkata, dia memang tidak gemar anak istimewanya itu keluar ke laut kerana bimbang dengan keselamatannya berikutan anaknya itu suka membuat sesuatu tanpa mengetahui kemampuan dirinya.
"Saya memang tak suka dia ke laut tetapi anak yang seorang ini, dia akan buat apa yang dia suka buat. Saya bimbang dengan keselamatan dia sebab dia orang kurang upaya. Saya kenal (sikap) anak saya.
"Contohnya kalau kawan dia terjatuh laut, dia akan ikut terjun untuk menyelamatkan kawan dia, padahal dia sendiri tak pandai berenang. Itu yang buat saya bimbang," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Sungai Pinang di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Muhammad Ikmal dari Titi Teras yang juga berstatus orang kurang upaya masalah pembelajaran dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, dari Paya Kongsi dilaporkan hilang pada jam 7 malam, Selasa selepas bot yang dinaiki mereka dikatakan mengalami kerosakan enjin.
Kedua-dua mangsa didapati menaiki sebuah bot berwarna biru dan merah yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Tambah Hanita, kali terakhir Muhammad Ikmal menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp pada 7.58 malam, Isnin lalu memberitahu laut dilanda ribut.
"Selepas dia beritahu ribut, saya suruh dia balik. Tetapi tak berjawab. Saya cuba telefon dia pada jam 6.57 petang Selasa tak jawab. Saya telefon lagi pada jam 9.44 malam, pun tidak berjawab.
"Naluri saya kuat mengatakan anak saya masih hidup cuma tidak tahu lokasi dia dan rakannya itu. Yang saya dapat rasa, dia berada di kawasan yang selamat. Saya harap, dia selamat dan segera ditemui," katanya lagi.
Hanita berkata, dia bermimpi pada malam Jumaat bahawa Muhammad Ikmal serta rakannya itu berada di dalam pondok di satu kawasan di tepi laut.
"Memang kita tidak boleh percayakan mimpi, tetapi firasat dan naluri saya sebagai ibu kuat merasa anak saya masih hidup.
"Hati saya merasakan dia masih ada, cuma lokasinya kita tidak tahu. Walaupun operasi mencari telah dihentikan, saya masih mengharap," katanya.
Menurut Hanita, anak lelakinya itu yang sebelum ini bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baru sahaja berjinak-jinak dengan aktiviti di laut pada awal bulan ini.
Sementara itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44, berkata, dia ingin melihat anaknya pulang ke pangkuan mereka dengan selamat, namun dia bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Saya reda, tetapi saya mahu lihat dia di depan mata saya, saya harap dia pulang dengan selamat.
"Tetapi naluri saya tetap mengatakan dia masih hidup," katanya.