'Skandal video ADUN Sabah bukti rasuah, bukan derma politik' - Latheefa Koya

Iklan
Latheefa Koya

SHAH ALAM - Dakwaan mengenai video skandal melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah sebagai kes derma politik adalah tidak masuk akal dan membalikkan undang-undang rasuah di Malaysia.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa, video itu jelas menunjukkan mereka menerima wang daripada seorang ahli perniagaan sebagai pertukaran sokongan untuk mendapat lesen penerokaan perlombongan.

Iklan
Iklan

"Sebagai balasan, ADUN terlibat akan memberi sokongan politik kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor. Secara jelas, ini adalah bukti rasuah yang memenuhi definisi 'rasuah' di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Seseorang tidak boleh mengelak daripada pendakwaan rasuah dengan menyembunyikan rasuah di bawah alasan sebagai derma politik.

Iklan

"Ini adalah perkara asas dalam skandal rasuah Sabah yang tidak boleh dilupakan, walaupun ada usaha untuk mengelirukan isu ini," katanya menerusi satu hantaran di aplikasi X pada Sabtu.

"Sebaliknya, apa yang kita dengar daripada kerajaan dan pihak berkuasa hanyalah perdebatan kosong mengenai peruntukan perlindungan pembocor maklumat.

Iklan

"Bolehkah mana-mana individu awam disalahkan jika mereka berfikir bahawa kebenaran sedang disembunyikan untuk melindungi sekutu politik yang berkuasa?

"Tidakkah ini memberi isyarat bahawa jika anda berada dalam kerajaan, jika anda berhubung dengan pihak berkuasa, anda akan dilindungi dan boleh terlepas daripada rasuah?," tegasnya.

Ujarnya, ia merupakan bukti visual rasuah pada peringkat tertinggi tetapi ia diperlakukan dengan acuh tak acuh dan dipenuhi dengan perdebatan remeh oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Menurut Latheefa, sejak pendedahan mengejutkan oleh portal berita dalam talian, kerajaan Madani dilihat kelam-kabut seperti ikan yang terkeluar dari air dengan cuba memperkecilkan video tersebut dan mengelak daripada mengambil tindakan.

"Mengapa begini? Adakah ini kerana ia melibatkan sekutu politik mereka sendiri dalam kerajaan Sabah?

"Respons utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pendedahan awam tentang rasuah ini adalah dengan memberitahu pembocor maklumat secara terbuka bahawa dia tidak akan mendapat perlindungan segera.

"Sebelum memberikan maklumat, individu terbabit mungkin berfikir bahawa tindakan rasuah melibatkan ADUN dan kerajaan negeri sepatutnya menjadi kebimbangan utama Perdana Menteri tetapi sebaliknya yang berlaku," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah portal berita mendedahkan perkara berkaitan beberapa rakaman video memaparkan ADUN didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, namun wajahnya tidak kelihatan yang meminta ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Dalam pada itu, Latheefa memaklumkan, perkara tersebut perlu dibuktikan di mahkamah dan wajib disiasat dengan segera serta menyeluruh tanpa ada sebarang aspek yang terlepas.

Pada 15 Disember lalu, menangani dakwaan skandal rasuah yang melanda pentadbirannya dengan mencadangkan bahawa klip video yang bocor itu mungkin merujuk kepada derma politik.

Dalam klip video di Tik Tok, beliau menegaskan bahawa ADUN pentadbirannya tidak pernah meminta rasuah.