SHAH ALAM - Kes tangkapan penyeludupan dadah melalui mod udara di pintu masuk negara merekodkan peningkatan sebanyak 22 peratus antara Januari sehingga Disember ini.
Cawangan Perhubungan Awam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi kenyataan memaklumkan, sebanyak 135 kes penyeludupan dadah ke dalam atau keluar dari Malaysia direkodkan dalam tempoh tersebut berbanding tahun lalu.
"Jumlah yang direkodkan antara Januari sehingga Disember tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus atau 24 kes.
"Angka ini berbeza berbanding tahun lalu dengan 111 kes yang dicatatkan pada tempoh yang sama," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, perbincangan untuk menangani masalah itu turut dijalankan melibatkan Bahagian Penguatkuasaan JKDM bersama Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd serta pihak Cargo Terminal Operator berlangsung di sebuah hotel pada 17 Disember lalu.
"Perbincangan turut memuktamadkan strategi penguatkuasaan di dalam kawasan Zon Bebas termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2. Ia mendapat sambutan positif daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta Cargo Terminal Operator.
"JKDM juga akan menggunakan sepenuhnya tambahan 66 unit mesin pengimbas yang ditempatkan di seluruh Malaysia serta 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD) bagi membanteras penyeludupan dadah ini," katanya.
Menurutnya, mana-mana individu atau pihak yang terlibat sama ada membuat pengikraran dagangan atau mengangkut dagangan perlu lebih berhati-hati.
"JKDM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi lain dalam mengawal pintu keluar masuk negara demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Orang awam diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di seluruh negeri," katanya.