BANTING - Perjalanan lebih 340 kilometer (km) dari Pekan, Pahang ke Pantai Kelanang di sini membuahkan hasil lumayan kepada Azri A Bakar apabila menyambar kejuaraan pertandingan Cuti-Cuti Malaysia Pacing Santai Madani di sini pada Sabtu.
Dia menaikkan ikan pari 2.645 kilogram (kg) pada jam 11 pagi, sekali gus muncul juara menewaskan lebih 500 peserta lain.
Tempat kedua disandang oleh Mohd Hakimie Aril dari Selangor yang menaikkan ikan semilang 0.42kg, manakala Herman Abdullah, juga dari Selangor menduduki tempat ketiga setelah menjinakkan ikan gelama 0.38kg.
Menerusi kemenangannya itu Azri membawa pulang wang tunai RM10,000 dan Mohd Hakimie pula menerima RM3,000, manakala Herman berpuas hati dengan RM1,000.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Majlis MPP Zon 18 Majlis Perbandaran Kuala Langat, Mat Irwan Ismail.
Menurut Azri, dia bertandang ke Selangor bagi menyertai dua acara memancing yang dianjurkan di Pantai Kelanang pada Sabtu dan satu lagi acara di Pantai Remis (Ahad).
"Perjalanan memang mencabar ketika musim cuti persekolahan yang menyaksikan banyak kenderaan di atas jalan raya. Namun demi minat, saya dan rakan sanggup menempuh perjalanan lebih 340 kilometer untuk menyertai acara ini.
"Alhamdulillah, juara milik kami, pasukan dari Pahang,’’ katanya yang telah mengesahkan pendaftaran bagi menyertai acara pada Ahad di Pantai Remis.
Sementara itu, Mat Irwan berkata, pertandingan memancing yang dianjurkan sebanyak empat kali di Pantai Kelanang pada tahun ini berjaya menaikkan imej pantai berkenaan.
"Saya berpuas hati dengan semua penganjuran memancing di sini pada tahun ini. Acara seperti ini memang ditunggu-tunggu penduduk Kuala Langat, terutama peniaga di sini.
"Mereka gembira apabila dengan penganjuran acara ini dapat menambah hasil jualan dengan kehadiran ramai pemancing dari luar Selangor,’’ katanya.