SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar dakwaan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berhubung isu kelemahan kes pendakwaan pada tahun 2018.
Muhammad Kamil berkata, ia susulan tindakan Muhammad Rafique yang mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Sabtu yang mengatakan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana dilakukan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya, beliau berkata, Anwar telah mengingatkan untuk tidak membalas dendam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada minggu pertama Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya tersebut.
"Tuduh Anwar diam ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad rakus balas dendam kepada Najib buktikan Muhammad Rafique mudah lupa.
"Anwar juga ingatkan kerajaan ketika itu untuk turuti proses keadilan dan jalur hukum. Ini kenyataan dan teguran yang dibuat secara terbuka,” katanya dalam hantaran di X pada Sabtu.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Anwar yang juga Menteri Kewangan pada Sabtu sekali lagi menafikan pembabitannya dalam kes berkenaan sebaliknya menyatakan bahawa beberapa pendakwaan yang dibuat selepas PRU14 dibuat terburu-buru sehingga banyak 'kecacatan'.
Media melaporkan Muhammad Rafique mempersoalkan alasan Anwar berdiam diri dan tidak membangkitkan isu mengenai pendakwaan tersebut sejak tahun 2018.