PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia tidak akan membenarkan kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China memasuki negara ini sebagai langkah mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ia susulan kes baharu salah seorang penumpang kapal persiaran MS Westerdam, warganegara Amerika Syarikat yang positif virus itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, baki penumpang kapal persiaran itu yang masih berada di Kemboja juga tidak akan dibenarkan memasuki Malaysia mengambil kira semua penumpang kapal persiaran tersebut adalah kontak rapat dengan kes disahkan positif tersebut.
"Sepatutnya Malaysia Airlines (MAS) menyediakan empat penerbangan pesawat yang disewa khas Syarikat Kapal Persiaran Hollan American Line bermula 14 Februari 2020 sehingga 16 Februari 2020."Setakat ini hanya penerbangan sewa khas (MH8763) yang membawa 145 orang penumpang mendarat di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7 petang, 14 Februari lalu dan kes positif (Covid-19) terbaru itu dikesan.
"Susulan itu MAS akan membatalkan baki penerbangan pesawat sewa khas, mengambil kira penumpang-penumpang lain pesawat tersebut dianggap kontak rapat," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Wan Azizah mempengerusikan mesyuarat bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pengangkutan (MOT), Jabatan Imigresen (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
MS Westerdam yang membawa 2,257 orang yang terdiri daripada 1,455 penumpang dan 802 krew berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu selepas lima negara menolak kemasukan kapal persiaran itu kerana bimbang sekiranya ada dalam kalangan mereka dijangkiti koronavirus.
Kapal persiaran tersebut berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan perjalanan selama 14 hari pada 1 Februari lalu sebagai East Asia Cruise.
Susulan itu, Syarikat Kapal Persiaran Hollan American Line menyewa pesawat MAS untuk membawa sebahagian penumpang kapal persiaran tersebut daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja ke pelbagai destinasi akhir penumpang melalui KLIA.
Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, susulan kes positif melibatkan penumpang dalam penerbangan sewa khas tersebut, aktiviti pengesanan kontak rapat dilaksanakan serta merta.
"Aktiviti tersebut melibatkan komunikasi di peringkat Malaysia International Health Regulations (IHR) Focal Point dengan National IHR Focal Points dari negara-negara lain yang terlibat.
"Melalui komunikasi tersebut, maklumat ringkas mengenai setiap penumpang yang terlibat disalurkan kepada National IHR Focal Points negara masing-masing," katanya.
Menurutnya, maklumat tersebut akan digunakan Kementerian Kesihatan negara terlibat untuk menyusuli dan menjejaki penumpang tersebut sebaik mereka tiba di destinasi.
"Tidak terkecuali, komunikasi dengan National IHR Focal Points Cambodia turut dilaksanakan bagi membolehkan tindakan kawalan dan pencegahan yang berkesan turut dilaksanakan membabitkan negara kapal persiaran tersebut pernah berlabuh," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Trump ucap terima kasih kepada Kemboja
Wanita 83 tahun mangsa terbaharu, total 22 kes
Covid-19: Tunggu keputusan ujian kedua untuk pengesahan