SHAH ALAM - KKM melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani masalah peletakan jawatan pakar perubatan awam di negara ini termasuk langkah jangka sederhana iaitu pengenalan inisiatif Rakan KKM Partnership.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif tersebut dijangka membawa beberapa perubahan dari segi prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan yang dinaik taraf supaya meningkatkan motivasi mereka untuk kekal dalam sektor awam.
"Ia bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baru daripada perkhidmatan ekonomi premium #RakanKKM.
"Langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja yang lebih anjal dan membenarkan amalan lokum,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Media pada Khamis melaporkan Dr Dzulkefly berkata, seramai 6,417 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak meletakkan jawatan sejak 2019 hingga 2023.
Menurutnya, selain itu seramai 1,046 pakar perubatan turut meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama manakala 63 pakar perubatan lain pula memilih untuk bersara pilihan.
Mengulas mengenai situasi berlakunya bebanan tugas di Hospital Seri Manjung pada 12 Disember lalu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya melalui kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak pegawai perubatan ke jabatan yang kritikal.
Jelasnya, ia adalah tugas yang mencabar namun perlu dibuat agar tahap tenaga kerja dapat menampung keperluan semasa.
"Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara.
"Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya-upaya untuk menangani keperluan mendesak itu. Namun, terdapat beberapa aspek sememangnya berada di luar bidang kuasa KKM,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi lain untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dengan berkesan.
"Selain itu, saya kekal komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, iaitu suatu perubahan yang kami janjikan dari zaman awal reformasi.
"Seluruh aspirasi ini adalah selaras dengan Kertas Putih Kesihatan. Inisiatif-inisiatif yang dibentangkan juga adalah bukti komitmen jangka panjang saya dan pasukan untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu sistemik dalam sektor kesihatan,” menurutnya.