KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesan wujudnya pengeluaran MyKad palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimanapun isu berkenaan masih terkawal menerusi pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya.
Menurutnya, bagi menangani pemilikan MyKad palsu dalam kalangan orang ramai, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang mengadakan program outreach di seluruh negara.
"Objektif utama program berkenaan adalah memberi penerangan berkaitan ciri-ciri MyKad tiruan. Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat elemen palsu pada MyKad, sebab MyKad asli mempunyai ciri keselamatan yang hanya boleh dilihat menggunakan alat khas.
"Menerusi program berkenaan, kerajaan mahu mendidik masyarakat supaya elak daripada memiliki dokumen palsu dan perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa jika terjumpa MyKad palsu,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.
Ini kerana katanya, kerajaan mempunyai keupayaan untuk mengesan penggunaan MyKad tiruan dan mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan.
"Dengan cara tegas ini sahaja masyarakat akan menghindarkan diri daripada terlibat atau memiliki dokumen pengenalan diri palsu,” katanya.
Saifuddin berkata, pihaknya sedang dalam proses menambah baik ciri-ciri keselamatan pada dokumen pengenalan diri pada MyKad dan pasport antarabangsa Malaysia bagi mengelak ia mudah untuk dipalsukan.
"Buat masa ini KDN dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan reka bentuk terbaharu MyKad dan pasport.
"Perbincangan peringkat KDN belum ada ketetapan tetapi mungkin satu masa nanti kita beralih kepada (MyKad) yang bersifat digital dan itu salah satu usaha hala tuju ke depan KDN,” katanya.
Ciri keselamatan ditambah baik
Saifuddin dalam pada itu berkata, pasport antarabangsa Malaysia diiktiraf sebagai 10 yang terbaik dunia dan mempunyai kredibilitinya tersendiri.
"Bila kita cakap soal keselamatan kalau dulu hitam putih, sekarang guna versi warna kerana pasport kita mempunyai tiga elemen iaitu data paced, cip dan sistem integrasi.
"Booklet (pasport) itu sebahagian daripadanya, tetapi yang betul-betul bernilai pada pasport yang memudahkan akses kepada auto gate seluruh dunia adalah data paced yang mempunyai cip yang kemudian boleh diintegrasikan dengan sistem dan elemen itu akan dipertingkatkan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut menegaskan, JPN mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu dipatuhi.
"Isu integriti dalam kalangan kakitangan JPN kita dapat kesan meskipun ia dalam jumlah kecil, tetapi itu menjejaskan keseluruhan sebab bekerja dalam jabatan yang sangat sensitif seperti ini tidak boleh ada sedikit pun calar.
"Kita mempunyai proses yang ketat untuk mengawasi pengeluaran MyKad, ia melibatkan semua maklumat yang dimasukkan sampailah kepada printer yang menghasilkan kad akhir itu, jadi ke semua prosedur itu wajib dipatuhi bagi memenuhi piawaian keselamatan,” jelas beliau.
Sementara itu, untuk memudahkan rakyat mendapatkan askes perkhidmatan, JPN menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) telah turun padang dengan fokus utama adalah warga emas yang tinggal di rumah penjagaan dan mereka di kawasan pedalaman (rumah panjang) di Sabah dan Sarawak.
Menurut Saifuddin, warga emas yang tinggal di rumah-rumah penjagaan yang tiada keluarga banyak berdepan masalah dokumen diri tidak lengkap.
"Untuk isu ini, kami pergi mencari mereka yang tinggal di kawasan pedalaman sebagai contoh di rumah panjang, kita guna helikopter, kenderaan pacuan empat roda dan bot,” katanya.
Selain itu, diaspora Malaysia yang berada di luar negara juga tidak pernah dilupakan apabila JPN turut menghantar pasukannya ke Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Saifuddin mendedahkan, ada rakyat Malaysia yang tinggal berpuluh tahun di negara berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap.
"Bila buat hebahan menerusi Kedutaan Malaysia, mereka datang dan kita baru sahaja selesaikan misi tiga minggu di New York dan 4,000 rakyat kita hadir dan kebanyakan mereka ganti MyKad, MyKid termasuk mendapatkan salinan sijil lahir,” katanya.
Tambahnya lagi, program Mekar akan diteruskan di United Kingdom (UK) pada tahun hadapan dan lokasi lain yang mempunyai ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu seramai 12,000 pelajar sekolah yang mempunyai masalah dokumentasi juga akan diberi perhatian menerusi program Mekar Didik.
Program yang baru dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu akan membantu dokumentasi pelajar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur.
"Bapa dan ibu warganegara tetapi kahwin di luar negara tak daftar perkahwinan di Malaysia, bila anak lahir dia pun tak daftar.
"Orang boleh cakap asid deoksiribonukleik (DNA) sebagai bukti tetapi itu kami anggap sebagai bukti sokongan sahaja,” tegas Saifuddin.
Tangani isu dua warganegara
Berkenaan kes individu yang mempunyai dua kewarganegaraan di sempadan Malaysia-Thailand, Saifuddin berkata, perkara itu sememangnya dalam perhatian pihaknya.
Beliau berkata, perkara itu akan diselesaikan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.
"Apabila kawalan sempadan diperketatkan, timbul keluhan orang sebelah sana hendak bersekolah di Malaysia tidak boleh lagi lalu jalan tikus.
"Kita akan manfaatkan hubungan baik dan semua forum kerjasama yang ada dengan Thailand, tujuannya untuk mengesahkan jumlah sebenar mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan itu.
"Semak dan sahkan bukan hanya untuk menyelesaikan urusan di antara rakyat kedua-dua negara tetapi juga melibatkan aspek keselamatan,” katanya.
Jelasnya, punca sebenar timbul isu dua warganegara itu ialah kerana hubungan kekeluargaan yang lama antara dua negara yang bersempadan.
"Pihak polis Thailand juga mempunyai senarai orang dikehendaki berlindung di Malaysia.
"Jadi dia menyerahkan senarai, kita pun menyerahkan senarai juga. Kenal pasti dan sahkan, kemudian berlaku pertukaran individu yang dikehendaki. Proses itu memang sedang berjalan,” jelas beliau.