SHAH ALAM - Musibah banjir yang berlaku baru-baru ini meninggalkan kesan begitu mendalam sehingga menyebabkan seorang penternak di Tumpat, Kelantan terpaksa menjual ternakan kambingnya pada harga murah.
Muhamad Azrean Abd Aziz, 29, berkata, dia mempunyai 130 ekor kambing yang perlu dijual untuk dijadikan modal baharu.
Menurutnya, ia berikutan bencana alam berkenaan menyebabkan barang-barang di kediaman rosak dan tidak boleh digunakan.
"Banjir kali ini boleh katakan antara yang terburuk. Saya pun dah jual banyak (kambing) untuk beli perabot.
"Saya juga ada buat perkhidmatan untuk sembelih, jadi mana-mana pelanggan yang nak daging sahaja pun boleh.
"Seekor kambing saya jual serendah RM400 sahaja, lagipun usia kambing ini dah boleh dibuat akikah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Muhamad Azrean berkata, dia juga sedia menawarkan khidmat penghantaran ke seluruh negara sekiranya ada yang berminat untuk membeli.
"Memang ada pelanggan akan minta daging yang dah siap diproses. Mungkin cuma mengambil masa dua hingga empat hari untuk sampai ke lokasi,” ujarnya lagi.
Meskipun Muhamad Azrean berhadapan dengan kesukaran, dia masih perlu membersihkan dan menyediakan kediaman dengan persekitaran yang lebih baik selepas bencana alam itu.
"Buat masa ini, saya akan uruskan perkara penting terlebih dahulu. Saya yakin akan ada rezeki lain selepas ini,” katanya.
Orang ramai boleh terus menghubungi Muhamad Azrean di talian 60189630554 untuk membeli daging atau kambing hidup.