MCA gesa kerajaan segera perkenal sistem DRG

Iklan
Pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) akan membantu mengurangkan beban yang ditanggung pemegang polisi insurans.

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera melaksanakan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) bagi menyeragamkan bayaran dan mengawal kos perubatan swasta yang menjadi antara punca kenaikan premium insurans kesihatan.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, pelaksanaan sistem ini akan membantu mengurangkan beban yang ditanggung pemegang polisi insurans.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga boleh mempelajari daripada amalan antarabangsa seperti di Amerika Syarikat (AS) melalui Peraturan Ketelusan Harga Hospital yang memberi mandat kepada hospital untuk mendedahkan semua kos terlebih dahulu bagi memastikan ketelusan dan menangani beban kewangan yang berlebihan daripada ditanggung pengguna.

"Dengan adanya ketelusan harga yang mandatori akan mengurangkan pembayaran insurans disebabkan perkhidmatan yang tidak perlu atau melambung dan mengurangkan tekanan ke atas premium.

Iklan

"Selain itu, KKM juga harus menggalakkan rundingan harga antara institusi penjagaan kesihatan dan penanggung insurans. Ini akan membolehkan penanggung insurans menyemak kos perubatan dengan lebih ketat supaya perbelanjaan berlebihan tidak ditanggung oleh pemegang polisi secara langsung bagi menangani kenaikan premium.

"Selain itu, kerajaan juga harus bekerjasama dengan penanggung insurans untuk membangunkan produk insurans kos efektif yang menawarkan fleksibiliti yang lebih besar untuk kumpulan pendapatan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini dilapor memberi jaminan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi hanya menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus sehingga akhir 2026.

Jaminan itu antara empat langkah interim dipersetujui dengan industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Sementara itu, Low berkata, secara asasnya MCA menyokong langkah interim yang diumumkan BNM untuk menangani kenaikan premium insurans perubatan.

Walau bagaimanapun katanya, langkah ini hanya bersifat sementara dan tidak akan menyelesaikan isu asas kenaikan kos perubatan dan ketidakseimbangan sistem insurans.

"Jadi, kerajaan mesti segera melaksanakan pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan untuk mengelakkan beban jangka panjang kos perubatan yang tinggi," katanya.