ABUJA - Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk empat kanak-kanak, maut dalam satu insiden rempuhan semasa pengagihan barangan bantuan di sebuah gereja tempatan di daerah Maitama, Abuja pada Sabtu, lapor Xinhua.
Menurut jurucakap polis, Josephine Adeh berkata, lapan lagi mangsa mengalami kecederaan selepas acara pengagihan barangan bantuan sempena sambutan Krismas, bertukar huru-hara pada pagi Sabtu di Gereja Katolik Holy Trinity, Maitama.
"Empat daripada mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar hospital, manakala selebihnya masih menerima rawatan perubatan,” kata Adeh, sambil memaklumkan bahawa pihak polis berjaya mengawal lebih 1,000 orang.
Padre Mike Nsikak Umoh, jurucakap Sekretariat Katolik Nigeria, memberitahu wartawan bahawa acara terbabit menarik lebih 3,000 orang dari kampung sekitar dan kawasan penduduk berpendapatan rendah.
Saksi kejadian berkata ramai yang hadir seawal 4 pagi waktu tempatan, walaupun acara itu dijadualkan bermula antara 7 hingga 8 pagi.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden Nigeria Bola Tinubu mengesahkan satu lagi insiden rempuhan pada pagi Sabtu di Okija, sebuah bandar di negeri Anambra, tenggara Nigeria, semasa inisiatif amal untuk mengagihkan beras kepada penduduk tempatan turut menyebabkan kematian.
"Kedua-dua tragedi ini meragut banyak nyawa dan mencederakan ramai lagi,” kata Tinubu, yang membatalkan semua tugas rasminya pada hari itu sebagai penghormatan kepada mangsa.
Tinubu menyeru kerajaan negeri dan tempatan untuk melaksanakan langkah kawalan yang lebih ketat di seluruh negara.
"Pihak berkuasa negeri dan tempatan tidak sepatutnya bertolak ansur dengan kelemahan operasi oleh organisasi dan badan korporat yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemanusiaan,” katanya. -Bernama-Xinhua