SHAH ALAM - Agensi penguatkuasaan negara perlu bertindak tegas dan meningkatkan usaha mengesan pesalah jalan raya culas membayar saman tertunggak.
Pengasas Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Manan Supri berkata, usaha mengesan pesalah trafik secara optimum perlu dilakukan bagi memastikan mereka membayar kompaun atau saman tertunggak dengar kadar segera.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan pesalah trafik daripada disabitkan di mahkamah atau berhadapan dengan hukuman penjara kerana ingkar perintah mahkamah.
"Pengguna jalan raya sedia maklum bahawa mereka adalah tertakluk kepada Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Namun begitu masih ramai yang tidak tahu membezakan antara kes yang boleh dikompaun atau sebaliknya, sama ada ia di bawah undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Media melaporkan ramai pemilik motor besar juga culas dalam membayar saman tertunggak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Manan berkata, secara lazimnya mana-mana kes yang boleh dikompaun adalah tertakluk kepada suatu tempoh yang ditawarkan bagi membolehkan pesalah membuat bayaran atau memohon rayuan.
Jelasnya, sekiranya gagal berbuat demikian, kes akan dibawa ke mahkamah seperti yang tertera di dalam notis saman dikeluarkan pihak berkuasa.
Malah menurutnya, pesalah yang ingkar membayar saman boleh berhadapan dengan tindakan disenarai hitam yang tertakluk kepada penghakiman mahkamah.
"Sekiranya perkara ini berlaku, ia pastinya menyebabkan mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan atau lesen kenderaan motor (LKM)," ujarnya.
Kata beliau, pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun bagi kesalahan di bawah pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan dihadapkan ke mahkamah.
Tambah beliau, perintah hadir mahkamah akan dihantar ke rumah untuk perbicaraan saman tertunggak.
"Memujuk pesalah trafik untuk menjelaskan saman tertunggak dengan tawaran diskaun istimewa mungkin tidak membawa kesan optimum, malah membuatkan mereka mengambil ringan terhadap kesalahan dibuat.
"Hanya dengan penguatkuasaan tegas sahaja mampu menggerunkan mereka untuk menjelaskan bayaran saman," ujarnya.
Manan berkata, pihak penguatkuasaan negara perlu bertindak mensabitkan pesalah di bawah bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 iaitu boleh menyita kenderaan bagi tujuan mengenal pasti identiti kenderaan atau memberhentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan.
Selain itu katanya, agensi penguatkuasaan jalan raya perlu sentiasa mengingatkan pengguna jalan raya mengenai APJ 1987 dari semasa ke semasa sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran.
Menurut beliau, pengguna jalan raya juga perlu menyemaikan sikap 'self enforcement' untuk bertanggungjawab melangsaikan apa jua saman yang telah dikenakan oleh pihak berkuasa.
"Kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain adalah sangat penting.
"Risiko untuk berlaku kemalangan lebih tinggi jika tahap kepatuhan pengguna jalan raya masih rendah.
"Kempen-kempen kesedaran perlu dipertingkatkan terutama melibatkan sikap dan tanggungjawab semua pengguna jalan raya," ujarnya.