KUALA LUMPUR - Di sebalik belantara konkrit yang menghiasi landskap ibu negara Malaysia ini, terdapat pelbagai tarikan yang sesuai untuk seisi keluarga, menjadikan Kuala Lumpur antara pilihan utama pelancong domestik pada setiap musim cuti umum atau sekolah.
Kaji selidik terbaharu Klook, penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan dan pengembaraan, bertajuk #KlookDulu Malaysian Travel Preferences 2024’, mendapati lebih separuh rakyat negara ini memilih Kuala Lumpur selain Pulau Pinang dan Melaka sebagai destinasi pelancongan domestik.
Pengurus Besar Klook bagi Malaysia, Indonesia dan Singapura, Sarah Wan berkata, kaji selidik berkenaan juga mendapati 87 peratus rakyat Malaysia mengutamakan aktiviti, berehat dan meneroka semasa mengembara.
"Dengan tiga objektif utama ini, Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pilihan penginapan santai, pameran baharu dan pengalaman menarik menjadikannya destinasi ideal untuk percutian dalam negara,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Justeru, bersempena dengan cuti sekolah dan cuti umum perayaan Krismas sekarang, Bernama menyenaraikan beberapa lokasi menarik di metropolis ini untuk dikunjungi.
Alice Saves Wonderland: The Immersive Journey
The Exchange TRX, antara pusat beli-belah barangan mewah dari dalam dan luar negara, menawarkan pengalaman meneroka dunia magis menerusi pameran"Alice Saves Wonderland: The Immersive Journey” di aras dua bangunan berkenaan.
Pameran yang berlangsung dari 26 Oktober lalu hingga 16 Februari depan membawa pengunjung kembali ke zaman kanak-kanak sebaik sahaja melangkah masuk ke"Door of Adventure” mahupun"Door of Magic”.
Mohd Amirrul Nizam, 29, yang bekerja sebagai ‘Game Master’ di pameran itu, berkata, terdapat lapan bilik ajaib yang membuatkan pengunjung berasakan mereka sedang melaksanakan satu misi, iaitu menyelamatkan Wonderland.
"Di Alice Saves Wonderland ada beberapa bilik permainan yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan tekonologi canggih dan reruai foto. Kebiasaannya, pengunjung akan meluangkan sekitar 45 minit hingga sejam bagi menyelesaikan misi menyelamat yang boleh dilakukan oleh ibu bapa serta anak-anak mereka,” katanya.
Pameran ini dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam setiap hari.
MinNature Malaysia
Di Sungei Wang, iaitu kira-kira tiga kilometer dari The Exchange TRX, terletak MinNature Malaysia yang membolehkan pengunjung mengenali Malaysia dengan lebih dekat melalui lebih 500 model miniatur warisan serta budaya negara ini.
Menawarkan sembilan segmen yang pasti memukau mata, antaranya"Taste of Malaysia” yang menampilkan lebih daripada 20 jenis ilustrasi tiga dimensi (3D) makanan tradisional Malaysia seperti kuih melayu, dim sum dan ayam bakar.
Pengunjung juga berpeluang melihat koleksi bangunan-bangunan bersejarah, ikonik dan tradisional dari seluruh negara di segmen"Heritage Buildings and Kek Lok Si Lightshow”,"We are Malaysian Series”,"Heritage Buildings and Dataran Lightshow” serta"Heritage of Buildings”.
Good Times DIY Pottery Studio
Bagaikan tidak lengkap cuti sekolah jika tidak melakukan aktiviti"hands-on” bersama dengan anak-anak, dan Good Times DIY Pottery Studion di Pavilion Bukit Jalil antara destinasi sesuai untuk tujuan itu.
Dapatkan tiket berharga RM175 di laman sesawang Klook bagi mengikuti aktiviti"Wheel-Throwing and Marble Artwork”. Di sini, pengunjung berpeluang melalui pengalaman membuat tembikar tanah liat bersama-sama dengan keluarga.
Jangan khuatir jika anda tidak pernah melakukannya kerana ada guru yang akan membimbing bagi menghasilkan dua jenis tembikar, iaitu mangkuk dan cawan.
"Kraf ini boleh dibawa pulang selepas lima minggu,” kata Perunding Studio Tembikar dan Tufting Vivien Ng.
Katanya, aktiviti itu sesuai untuk kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas.
REXKL
REXKL merupakan sebuah bangunan lama yang menyediakan aktiviti cukup sesuai untuk bersantai menerusi"Twilight: An Immersive Journey”, di mana pengunjung boleh duduk berehat di atas"beanbag” sambil menyaksikan tiga tayangan seni digital selama sejam.
Pengunjung disajikan dengan tayangan Hanya Batik oleh Arif Rafhan, Bo Amir Iqram, Fahmi Hossed dan lan Kit, Geometry of Emotions (Fabien Bouchard dan Matthieu Pernaud) dan Escape oleh Colas Fiszman dan Lauren Delforge.
Tiket bagi warganegara berharga RM40 untuk dewasa, RM28 (belia) dan RM20 (kanak-kanak) manakala bagi bukan warganegara RM60 (dewasa), RM42 (belia) dan RM30 (kanak-kanak). - Bernama