PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mahu pasukannya bersedia berdepan sebarang corak ditampilkan pasukan lawan dalam usaha kelab itu mengekalkan kejuaraan.
Malah menurut Bidoglio, perkara paling penting ketika ini pemain-pemain berusaha melakukan penambahbaikan bagi memastikan Harimau Selatan konsisten meraih keputusan positif.
"Kami perlu mengalahkan sesiapa sahaja untuk bergelar juara dan paling penting pemain-pemain tahu kekuatan pasukan sendiri.
"Ini secara tidak langsung membantu perkembangan pasukan mengharungi baki musim yang sangat mencabar kali ini,” katanya selepas perlawanan menentang Kuala Lumpur City pada Sabtu.
JDT sebelum itu menampilkan kualiti sebenar bola sepak Harimau Selatan apabila membelasah Kuala Lumpur City, 4-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Anak buah pengendali berusia 56 itu yang membawa bekalan satu gol selepas menjinakkan The City Boys bimbingan Miroslav Kuljanac, 2-1 di Cheras pada 13 Disember lalu menampilkan kesebelasan terbaik diketuai Afiq Fazail.
Kuljanac, 54, pula meletakkan tanggungjawab kapten pasukan, Zhafri Yahya mengemudi pasukan yang tampil dengan status juara empat kali dengan kali terakhir merangkul kejuaraan tersebut selepas menjinakkan JDT, 2-0 dalam perlawanan akhir edisi 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Harimau Selatan terlebih dahulu memimpin separuh masa pertama dengan dua gol yang dijelmakan pemain lincah Arif Aiman Hanapi menerusi penalti minit ke-36 sebelum sentuhan minit ke-47 daripada Bergson da Silva memastikan tuan rumah menuju ke bilik persalinan dengan bekalan selesa.
Separuh masa kedua, Harimau Selatan yang menewaskan Terengganu FC, 3-1 dalam perlawanan akhir musim lalu menokoh dua lagi tambahan gol yang dijaringkan bermula dengan jaringan penalti minit ke-56 sekali lagi menerusi Bergson.
Juan Muniz kemudian menutup semua ruang untuk sebarang kebangkitan Kuala Lumpur City dengan gol minit ke-62 untuk mengesahkan kemaraan JDT dengan agregat 6-1.
Mengulas lanjut perlawanan berdepan Kuala Lumpur City itu, Bidoglio berkata:"Kita tahu aksi ini merupakan perlawanan sukar tetapi saya gembira apabila pemain-pemain bermain sebagai satu pasukan.
"Sejak awal saya berpesan kepada pemain-pemain supaya memberikan tumpuan kepada falsafah bola sepak pasukan.”
Kemenangan itu membolehkan anak buah Bidoglio mengesahkan kemaraan ke separuh akhir berdepan Terengganu yang menewaskan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Pasukan Penyu asuhan Badrul Afzan Razali menepati sasaran apabila melangkah ke separuh akhir dengan agregat 6-2 selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 pada perlawanan suku akhir kedua.
Perlawanan suku akhir pertama, Terengganu menang 2-0 ke atas skuad Rusa bimbingan, K Nanthakumar dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, 14 Disember lalu.