SHAH ALAM - Kerajaan digesa merombak struktur operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan meletakkan pegawai integriti di setiap aset agensi yang beroperasi.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, dengan cara itu rasuah dan salah guna kuasa dapat dipantau secara dekat dan bukan sekadar dari pejabat di pengkalan.
"Kehadiran pegawai integriti Maritim Malaysia di setiap aset akan menyebabkan pegawai dan kakitangan tidak terdedah kepada salah laku rasuah.
"Maritim Malaysia yang kini terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu melakukan penggiliran lebih kerap agar tiada pegawai terlalu lama di suatu kedudukan yang berpotensi menjadikan mereka terdedah kepada jaringan penyeludup,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengarahkan bekas Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili, membela diri atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 43, di akhir kes pendakwaan.
Mengulas lanjut, Helmi memberitahu bahawa kerajaan harus melihat betapa seriusnya isu itu kerana Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang terdedah kepada keluar masuk kapal.
Menurutnya, kes berkenaan melibatkan sebuah kapal dagangan membolosi sempadan negara dan sudah tentu membawa barangan yang tidak membayar cukai atau barangan larangan.
"Bayangkan ini bukan penyeludupan menggunakan kereta tetapi menggunakan kapal. Sudah pasti melibatkan barangan yang mungkin nilai cukai besar.
"Sekiranya ia bahan terlarang atau senjata api sudah tentu ia merupakan ancaman kepada keselamatan negara,” ujarnya.