KUANTAN – Semua pantai utama di Pahang kini dikibarkan bendera merah sebagai amaran kepada pengunjung agar tidak menjalankan sebarang aktiviti di air susulan keadaan laut bergelora dan angin kencang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, bendera tersebut dinaikkan di pantai tumpuan seperti Teluk Cempedak, Pantai Batu Hitam, Pantai Sepat, Pantai Hiburan, Rompin dan beberapa lokasi lain.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung, terutamanya ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlangsung sejak awal November lalu sehingga Mac tahun depan.
"Bendera merah bermaksud pengunjung tidak digalakkan mandi di pantai kerana keadaan laut yang bergelora. Situasi ini berbahaya kepada aktiviti seperti mandi-manda atau sukan pantai.
"Kami juga menempatkan pasukan penyelamat pantai APM di semua pantai utama di negeri ini, mereka ini bertugas untuk memantau keadaan dan memberikan nasihat kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pantai utama di daerah ini seperti Pantai Pelindung, Pantai Teluk Cempedak dan Pantai Batu Hitam mendapati bendera merah telah dikibarkan.
Dalam perkembangan lain, Che Adam turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi seperti air terjun dan jeram, terutamanya semasa musim cuti sekolah.
"Hujan lebat di kawasan hulu boleh menyebabkan fenomena kepala air.
"Jika ingin berkunjung ke kawasan rekreasi air, pastikan cuaca semasa dalam keadaan baik dan elakkan mandi-manda di kawasan berisiko tinggi,” katanya.