'Naluri ibu yakin anak selamat'

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan dua lelaki hilang ditemukan di perairan Indonesia.

BALIK PULAU - Keluarga dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini, bersyukur kerana kedua-dua mangsa itu ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia hari ini.

Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi berkata, dia dihubungi pihak polis kira-kira 10 pagi ini memaklumkan penemuan anaknya dan rakan di peraian Acheh dalam keadaan selamat.

Iklan
Iklan

"Allahuakhbar, hanya itu saya dapat ungkapkan dan dalam masa sama saya melakukan sujud syukur kepada ALLAH apabila dapat berita mereka selamat dan kami dimaklumkan yang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini.

Sementara itu, ibunya Hanita Ismail, 47, berkata, dia yakin anak keempat daripada lima beradik itu masih hidup.

Iklan

"Itulah dikatakan naluri seorang ibu, memang kami sangat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa kami dan kita semua," katanya.

Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, bapa tiri kepada Nor Hasrul Abdullah juga berkata, mereka sekeluarga bersyukur selepas dimaklumkan anaknya itu ditemukan selamat dan ketika ini tidak sabar menanti kepulangannya.

Iklan

"Alhamdulillah, ALLAH dengar doa-doa kami agar dia ditemukan selamat... kalau tanya perasaan memang bersyukur dan gembira sangat. Ini hari paling gembira untuk kami," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam memaklumkan Muhammad Ikmal Hakimi, 22, dan Nor Hasrul, 25, yang dilaporkan hilang pada 16 Disember lepas ditemukan selamat di perairan Acheh, hari ini.

Sazalee Adam berkata, ketika ini Maritim Malaysia sedang berusaha untuk membawa pulang mereka di sempadan dan dijangka tiba di Jeti Batu Maung di sini, awal pagi esok.

Semalam, Sazalee memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan pada 5 petang selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka. - Bernama