Kerajaan salur bantuan RM3.17 juta kepada 90 rumah ibadat bukan Islam

Iklan
Ramanan mewakili Perdana Menteri bergambar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Rumah-Rumah Ibadat Masyarakat India Tahun 2024 di Kalamandapam Hall pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan bantuan khas berjumlah RM3.17 juta kepada 90 rumah ibadat bukan Islam.

Bantuan kepada wakil pengurusan 89 kuil dan satu gereja di seluruh negara itu disampaikan menerusi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan.

Iklan
Iklan

Ramanan berkata, peruntukan itu bukan untuk memperbaiki kuil atau gereja, tetapi ia lebih kepada program membantu rakyat dan inisiatif lain contohnya tuisyen atau bantuan kelas agama.

"Ia adalah peruntukan di bawah Kementerian Kewangan yang telah diluluskan Perdana Menteri, sekali gus menunjukkan komitmen beliau terhadap komuniti India,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Rumah-Rumah Ibadat Masyarakat India di Brickfields, pada Ahad.

Iklan

Ramanan berkata, bantuan berkenaan juga sekali gus menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri meminggirkan masyarakat India di negara ini.

"Kerja perlu dilakukan. Rakyat harus mendapat faedah. Isu sekarang mungkin kadang kita tak lihat beliau di pentas tetapi kami semua termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbangsa India kami semua menjalankan kerja dan amanah diberikan Perdana Menteri,” katanya.

Iklan

Sejumlah RM3.17 juta diperuntukkan kepada 89 kuil dan sebuah gereja bagi tujuan pembangunan masyarakat komuniti berkenaan di seluruh negara. Foto Bernama

Ramanan berkata, sepanjang dua tahun pentabdiran Perdana Menteri, hampir RM300 juta telah diperuntukkan dalam pelbagai program bagi peningkatan sosioekonomi masyarakat itu, meliputi 275 inisiatif di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Sejak Kerajaan Madani ditubuhkan pada November 2022, MITRA telah berjaya menggunakan 100 peratus peruntukan MITRA pada 2023 dan 98.9 peratus pada 2024 untuk kesejahteraan dan kebajikan masyarakat India di negara ini, katanya.

"Ini sama sekali berbeza daripada tahun sebelumnya iaitu dari 2016 hingga 2022 dengan setiap tahun, banyak baki peruntukan tidak habis dibelanjakan oleh kerajaan terdahulu untuk pembangunan masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah memberi peruntukan tambahan RM136 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sekali gus membuktikan komitmen kerajaan memperkasa kaum India.

Perdana Menteri pada Sabtu menegaskan agar segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera. - Bernama