KUANTAN - Pengunjung pantai di daerah ini mengaku peka dengan amaran bendera merah yang dikibarkan supaya mereka lebih berhati-hati ketika berada di pusat peranginan itu.
Langkah itu bagi mengelakkan sebarang tragedi meragut nyawa ketika beriadah di pantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Tinjauan Sinar Harian di Pantai Pelindung pada Ahad mendapati kebanyakan pengunjung memilih untuk menikmati suasana pantai dengan hanya mengambil angin di pesisir.
Namun, terdapat segelintir ibu bapa yang membenarkan anak mereka bermain di gigi air pantai dengan pemantauan rapi.
Menurut pekerja swasta, Norihan Mohd Basir, 43, keselamatan anak-anak menjadi keutamaan apabila berada di kawasan pantai terutama ketika bendera merah dikibarkan.
Dia yang menetap di Muadzam Shah, Rompin berkata, walaupun ketika bendera merah tidak berkibar, setiap tingkah laku anak-anak semasa bermain air tetap diperhatikan.
"Kalau sudah ada amaran seperti ini, kita kena lebih berhati-hati.
"Anak-anak hanya dibenarkan bermain dekat-dekat (gigi air) sahaja,” katanya ketika ditemui di Pantai Pelindung di sini pada Ahad.
Senada dengan itu, juruteknik, Muhammad Shukri Azim Muhammad Kamaruddin, 38, berkata, pengunjung pantai perlu peka dengan keadaan sekeliling dan tidak mengabaikan tanda amaran.
"Bendera merah ini tanda bahaya. Kalau tak tahu berenang, jangan sesekali cuba masuk ke air.
"Laut nampak tenang, tapi arusnya boleh membahayakan. Jangan ambil risiko,” katanya.
Tambahnya, masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dan menghormati peraturan demi keselamatan semua pihak.
"Kalau nak ke pantai, pastikan anak-anak diawasi dengan ketat dan jangan biarkan mereka bermain terlalu jauh dari pesisir,” katanya.
Sementara itu, jurutera kanan mekanikal, Khairul Hisyam Kamaruddin, 42, berkata, pendidikan mengenai keselamatan pantai perlu diterapkan supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
"Bendera merah ini bukan sekadar hiasan, ia tanda bahaya. Saya ajar anak-anak tentang ombak, arus tarik dan kawasan mana yang selamat untuk bermain.
"Kita perlu didik mereka sebelum membenarkan mereka ke pantai,” ujarnya.
Khairul Hisyam berkata, ombak pada musim tengkujuh boleh menjadi sangat berbahaya terutama kepada mereka yang kurang berpengalaman dengan keadaan laut.
"Orang ramai perlu faham risiko arus deras dan mematuhi tanda amaran.
"Lebih baik menikmati pantai dari pesisir tanpa mengambil risiko,” tambahnya.