Utamakan keselamatan, perpaduan pada musim perayaan - Lee Lam Thye

Iklan
Orang ramai diminta mengutamakan keselamatan jalan raya dan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta mengutamakan keselamatan jalan raya dan rumah mereka sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengerusi Alliance For A Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keselamatan jalan raya termasuk mematuhi peraturan dan undang-undang trafik, memastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan jauh, elak memandu laju dan melulu, tidak memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan berehat semasa pemanduan jarak jauh untuk kekal berwaspada.

Iklan
Iklan

Bagi keselamatan rumah, beliau berkata, orang ramai mesti memeriksa semula untuk memastikan semua peralatan elektrik dan lampu dimatikan sebelum meninggalkan rumah.

"(Langkah keselamatan lain) termasuk melindungi rumah anda dengan mengunci pintu dan tingkap serta memaklumkan kepada jiran boleh dipercayai jika anda keluar dan berhati-hati apabila bermain mercun serta barangan perayaan lain untuk mengelakkan kemalangan, terutama melibatkan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Lam Thye berkata, musim perayaan juga menyaksikan peningkatan perjalanan kerana ramai orang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi rakan serta keluarga.

Sementara itu, Lam Thye berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, perayaan bukan sekadar masa untuk individu tetapi juga peluang mengeratkan ikatan yang menyatukan rakyat.

Iklan

"Rumah terbuka, makan bersama dan kegembiraan kolektif menyatukan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat, mengingatkan kita tentang nilai hormat menghormati, saling memahami dan keharmonian.

"Semasa kita meraikan bersama, marilah kita meningkatkan komitmen untuk mewujudkan komuniti berkembang melalui keterangkuman dan perpaduan iaitu perbezaan diraikan dan keharmonian mengatasi segala-galanya,” katanya.

Lee mengingatkan agar semua pihak mengambil peluang untuk membuka rumah dan hati mereka kepada rakan-rakan daripada pelbagai kaum serta agama, bagi memupuk persefahaman lebih mendalam serta semangat muhibah.

Beliau juga berkata semua orang mesti mengajar generasi muda mengenai kepentingan menerima kepelbagaian dan meraikan warisan bersama kita, serta menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk membincangkan nilai-nilai toleransi, kebaikan dan perpaduan dalam membina sebuah negara yang aman dan makmur. - Bernama