SHAH ALAM - Tidak timbul isu syarat mengajar agama di Selangor terlalu ketat hingga ada beberapa penceramah ditarik tauliahnya.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, syarat dan peraturan ditetapkan itu tidak jauh beza dengan negeri lain.
Menurutnya, masalah tidak akan timbul jika tenaga pengajar dan penceramah mematuhi syarat ditetapkan.
"Peraturan telah diberi dan boleh dikatakan negeri lain pun menetapkan syarat lebih kurang sama.
"Syarat itu perlu difahami dan dipatuhi. Saya melaksanakan tugas mengikut titah tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa tauliah mengajar agama di Selangor terlalu ketat berbanding negeri lain.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tauliah mengajar Mohd Masri Mohd Ramli ditarik selepas melanggar peraturan tauliah bagi pengajaran agama Islam di Selangor.
Penarikan balik tauliah itu disyorkan Jawatankuasa Tauliah selepas siasatan terperinci dijalankan oleh Jawatankuasa Kecil Aduan dan Siasatan selaras dengan Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.
Ia selepas MAIS menerima aduan awam berhubung salah laku Mohd Masri.
Selain Mohd Masri, tauliah mengajar pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Bon Bijayid turut ditarik Julai lalu.
Abdul Aziz berkata, kawalan dan pemantauan tauliah mengajar dilakukan bertujuan mengelak ilmu agama terpesong atau disalah guna.
"Kawalan perlu dilakukan bagi mengelak keadaan huru-hara atau pengajaran Islam tidak tentu hala.
"Kita mahu pengajaran itu memupuk semangat bersatu-padu dan jangan ada berpecah belah," katanya.
Abdul Aziz ditemui pada Majlis Konvokesyen Program Pengajian Sepanjang Hayat kali ke-4 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Ahad.
Seramai 177 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam Persijilan Awam Pengurusan Masjid, Persijilan Awam Pengurusan Halal dan Persijilan Awam Fiqh Wanita.
Program Pengajian Sepanjang Hayat merupakan satu usaha anjuran Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS).
Program yang telah dilaksanakan di 32 buah masjid terpilih di Selangor merupakan proses pendidikan berterusan bagi mendidik masyarakat agar mencintai ilmu dan beramal dengannya.