'Isu vape, dadah libat pelajar perlu tindakan bersepadu' - Lam Thye

Iklan
Isu penggunaan rokok elektronik atau vape dan dadah dalam kalangan pelajar sekolah memerlukan tindakan bersepadu oleh ibu bapa, pendidik, komuniti serta penggubal dasar. Gambar hiasan (Gambar kecil: Lam Thye)

SHAH ALAM - Isu penggunaan rokok elektronik atau vape dan dadah dalam kalangan pelajar sekolah memerlukan tindakan bersepadu oleh ibu bapa, pendidik, komuniti serta penggubal dasar.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Dr Lee Lam Thye berkata, ia kerana peningkatan trend ketagihan vape dan dadah dilihat amat membimbangkan sehingga mampu menimbulkan ancaman serius.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika isu sedemikian tidak ditangani segera, ia berpotensi merisikokan masalah kesihatan dan pendidikan pelajar, bahkan mampu terjerumus ke dalam gejala sosial yang lebih berbahaya.

"Penyelidikan menunjukkan bahawa vape boleh menyebabkan masalah pernafasan yang teruk, kerosakan kardiovaskular dan ketagihan jangka panjang kepada nikotin.

Iklan

"Begitu juga dadah kerana ia mengganggu kesihatan mental dan fizikal, malah perkembangan kognitif juga terjejas. Bukan itu sahaja, ketagihan mengakibatkan prestasi akademik lemah.

"Ini menjejaskan potensi mereka dan meningkatkan kebarangkalian untuk berhenti sekolah," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Ahad.

Iklan

Pada 13 November lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan cedera selepas terjatuh daripada bumbung sekolahnya di Kangar, Perlis dipercayai khayal selepas menghisap vape.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin memaklumkan, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 11 pagi di bangunan sekolah berkenaan.

Pelajar terbabit difahamkan sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan lanjut, bagaimanapun keputusan ujian air kencing bagi saringan dadah didapati negatif.

Susulan itu, katanya, polis dan sekolah terbabit sedang bekerjasama untuk menyiasat perkara berkenaan.

Justeru, Lam Thye berpandangan, antara langkah berkesan untuk menghentikan penggunaan vape dan dadah dalam kalangan pelajar adalah memperkasakan penguatkuasaan undang-undang serta mengharamkan penjualan atau promosi produk berhampiran premis sekolah.

Tambahnya, denda dan penalti lebih ketat perlu dikenakan ke atas peruncit yang menjual peranti vape atau dadah kepada golongan bawah umur.

Selain itu, katanya, sekolah perlu mewujudkan sistem pelaporan sulit untuk menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan tanpa rasa takut di samping melaksanakan program intervensi awal.

"Latih guru dan kaunselor untuk kenal pasti tanda awal vape atau dadah, beri sokongan serta rujukan segera. Anjurkan seminar melibatkan pakar penjagaan kesihatan atau bekas penagih untuk mendidik pelajar dan ibu bapa.

"Adakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan komuniti untuk sediakan aktiviti selepas sekolah dan ruang selamat buat kanak-kanak agar mereka tak terlibat tingkah laku berisiko.

"Melindungi anak-anak sekolah daripada vape dan ketagihan dadah bukan sekadar tugas sekolah atau kerajaan, ia tanggungjawab bersama," ujarnya.