SHAH ALAM - Syarikat pengendali umrah, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd berjanji akan membayar tunggakan hutang kepada pelanggan terjejas susulan masalah yang menimpa perniagaannya sebelum ini.
Pengarahnya, Datuk Zulkarnain Endut berkata, semua pihak diminta untuk memberi ruang kepada beliau untuk memulangkan semula wang yang tertunggak berkenaan.
"Tuan-tuan dan puan-puan, seperti mana posting saya sebelum ini. waima Syarikat Emraz gulung sekali pun (hampir ke arah itu selepas ditekan pelbagai pihak), tujuan saya jelas. Saya kekal dengan prinsip saya, demi akhirat saya, saya tetap akan jelaskan segala yang tertunda ini.
"Berikan ruang. Dan semuanya sedang bergerak walaupun keadaan begitu sukar. Saya tak pernah lari, sebelum ini saja saya berdiam diri lama kerana saya terkejut apa yang berlaku dengan Emraz. Pertama kali ujian datang sebegitu besar. Dan saya belajar dari setiap kejatuhan ini.
"Saya nak terus pandang ke hadapan, kesal dan kecewa berlebihan perihal perkara lepas takkan mampu ubah apa-apa, melayan tekanan ditekan oleh segala pihak juga takkan mampu pulangkan apa-apa pada ramai yang terpalit, melainkan saya terus mara dan buat sesuatu.
"Insya-ALLAH, ALLAH SWT akan mudahkan usaha berat ini. Tuan-puan jangan risau, semuanya dalam proses pemulihan. Tiada istilah hangus selagi saya bernyawa dan tidak diikat tangan dan kaki oleh sekelompok yang cukup takut jika saya naik semula. Dan sanggup berhabis ratus ribu mahupun juta asalkan Emraz Travel & Tours betul-betul dibenci dan terpadam," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi syarikat berkenaan pada Ahad.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini mengumumkan lesen syarikat pengendali pakej umrah berkenaan dibatalkan berkuat kuasa 11 Mac lalu.
Pembatalan lesen itu selaras dengan perenggan 8(1)(b) dan (d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) berikutan syarikat berkenaan didapati melanggar syarat lesen dan peruntukan akta serta menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis menerima ratusan laporan berhubung dakwaan kes penipuan pakej umrah membabitkan syarikat itu sekitar November tahun lalu.
Sementara itu, Zulkarnain yang juga pemilik syarikat berkenaan menerusi hantaran sama turut mengingatkan pelanggan terlibat dengan kes syarikatnya supaya berhati-hati agar tidak menjadi pihak yang ingin mengambil kesempatan.
Menurutnya, dalam tempoh setahun ini, beliau banyak menerima kiriman Messenger dan WhatsApp berhubung tawaran daripada pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.
"Mereka datang dan offer (tawar) untuk jadi orang tengah supaya boleh dapatkan kembali hak tuan-tuan dan puan-puan dengan syarat, perlu bayarkan beberapa amaun kepada mereka dahulu, dan hasil mereka dapat nanti, 30-50 peratus perlulah diserahkan kepada mereka sebagai komisen mereka buat kerja.
"Modus operandi ini biasa akan berlaku di tengah-tengah permasalahan mana-mana tempat sekali pun. Termasuk akan bertebaran cerita yang mengarut-ngarut kononnya Emraz ini memang scammer, kami sudah terbangkan hampir 50,000 jemaah dan semuanya pulang dengan pengalaman yang sangat baik.
"Semoga ALLAH mudahkan dan berikan kekuatan untuk saya kendong amanah berat ini demi akhirat saya," katanya.