Empat lubang benam dikenal pasti di Jalan Lojing-Gua Musang

Iklan
Nik Raisnan (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan bantuan makanan daripada Datuk Tan Kim Keah (tiga dari kanan) kepada wakil jabatan untuk diagihkan kepada penduduk terkesan banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, pada Ahad. Foto Bernama

GUA MUSANG - Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) mengenal pasti sekurang-kurangnya empat lubang benam di sekitar laluan FT185, Seksyen 78.60, Jalan Lojing-Gua Musang berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, yang berlaku pada 14 Disember lepas.

Pengerusi PKOB Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, kerja-kerja baik pulih laluan tersebut berkait rapat dengan faktor teknikal, justeru, penyelesaian isu berkenaan bergantung kepada kepakaran Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menjalankan kajian terperinci.

Iklan
Iklan

"Lubang benam ini berkemungkinan disebabkan oleh pergerakan air di bawah tanah, namun perkara tersebut masih dalam kajian oleh pihak JKR.

"Kejadian ini dipercayai berlaku akibat hujan lebat yang berpanjangan, yang mungkin telah membentuk lopak air dan seterusnya mewujudkan gua di bawah tanah," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Banjir di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, pada Ahad.

Iklan

Beliau turut menjelaskan lubang benam tersebut mungkin berpunca daripada keadaan tanah di bawah permukaan yang semakin teruk ketika musim hujan.

Katanya, laluan tersebut masih ditutup kepada semua kenderaan dan pihaknya menyerahkan perkara itu kepada pakar dalam bidang kejuruteraan kerana kejadian tersebut melibatkan struktur tanah.

Iklan

"Kita tunggu keputusan JKR berhubung tindakan segera untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya. - Bernama