ULTRAS Kelantan menegaskan Kelantan Red Warriors (KRW) yang dilancarkan pada Sabtu memiliki DNA The Red Warriors (TRW) iaitu pasukan berstatus gergasi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) satu ketika dahulu.
Wakilnya, Muhamad Firdaus Amaran berkata, hal ini kerana majoriti individu yang menjadi 'tonggak' KRW merupakan kumpulan pelabur TRW.
"Jadi bagi saya tidak salah jika mereka (pemegang saham TRW) untuk isytiharkan KRW miliki DNA TRW.
"Mengukuhkan lagi DNA itu, KRW mendapat sokongan padu daripada KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan). Untuk tubuh pasukan baharu bagi bersaing dalam Liga M kumpulan yang terlibat perlu mendapat restu badan induk negeri.
"Di Kelantan, KAFA adalah pemegang taruh yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, Ultras Kelantan meminta seluruh penyokong untuk berdiri teguh di belakang KRW yang baharu dibentuk ini.
Ujarnya, KRW yang baharu berusia lapan hari itu perlu diberikan sokongan bagi memastikan pasukan ini kembali disegani.
Dalam pada itu, Muhamad Firdaus berharap pengurusan yang menerajui KRW dapat menjaga kebajikan pemain sekali gus menggelakkan 'pisang berbuah dua kali' sebagaimana pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, pada masa sama hubungan dengan penyokong perlu dibentuk sebaik mungkin supaya ia terus kekal subur.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, KRW yang baru ditubuhkan tujuh hari lalu bersedia menggantikan TRW FC yang telah terkubur daripada saingan Liga M.
Presiden KRW FC, Nik Hafiz Nik Naim berkata, proses mempersiapkan pasukan itu dijangka akan bermula sepenuhnya pada Januari.
"Bulan ini (Disember) kita beri tumpuan kepada pelancaran dan pengenalan pasukan. Selepas ini, kita akan fokus kepada persiapan," katanya semasa sidang akhbar pelancaran KRW FC di sini pada Sabtu.