KUALA TERENGGANU - Seramai 400 asnaf di Terengganu menerima bantuan agihan barang keperluan makanan daripada FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi Program Bantuan Makanan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di sini pada Ahad.
Pengurus Hal Ehwal Agama & Kebajikan FGV, Ilyas Helmi Mohd Yusof berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kewangan golongan asnaf di Terengganu susulan berdepan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.
"Bantuan itu juga membuktikan kesungguhan FGV dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu golongan miskin di negara ini.
"Melalui program agihan barangan makanan yang dijalankan ini, FGV dapat melaksanakan tanggungjawab sosial seperti berkhidmat dan membangunkan komuniti yang berada di sekitar operasi perniagaan kami bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh Malaysia.
"Secara keseluruhan kita memperuntukkan sebanyak RM250,000 dalam bentuk barangan produk keluaran FGV serta produk kegunaan harian lain kepada asnaf yang memerlukan di seluruh Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Makanan MAIDAM di Dewan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan.
Sementara itu, Ahmad Azrin berkata, agihan itu dapat memberi bantuan kebajikan sekali gus meringankan beban asnaf yang mengalami kesempitan hidup.
"Agihan itu akan diagihkan di dua lagi lokasi dalam masa terdekat untuk baki 800 penerima.
"MAIDAM berterima kasih kepada FGV kerana tampil membantu selain berharap lebih banyak syarikat korporat akan berbuat demikian bagi menyantuni asnaf di Terengganu," jelasnya.
Selain itu, penerima bantuan, Azura Abdullah, 42, melahirkan rasa syukur kerana bantuan tersebut mampu meringankan beban berikutan kenaikan kos hidup ketika ini.
"Terima kasih MAIDAM atas bantuan diberikan memandangkan saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan yang menerima upah sekitar RM1,200 sebulan. Saya juga perlu menyara dua orang anak di mana salah seorang daripadanya merupakan anak Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Jadi saya perlu membayar banyak komitmen lebih dari segi bayaran sewa rumah, ansuran motosikal, tanggung kos perubatan anak maka dengan adanya bantuan seperti ini mampu meringankan beban di mana tidak perlu mengeluarkan belanja lebih untuk beli keperluan barangan makanan," ujarnya.