SELAYANG - Lebih 200 warga kerja termasuk doktor, jururawat dan kakitangan pentadbiran menyertai program Hospital Selayang #QuranHour: #SavingTheUmmah yang diadakan di Hospital Selayang baru-baru ini.
Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB), Muhammad Faiz Abdul Karim berkata, Surah al-Fatihah, al-Baqarah, al-Saff dan al-Dhuha menjadi pilihan utama sesi tadabbur program tersebut.
Menurutnya, pilihan surah berkenaan adalah sebagai panduan penting untuk membimbing kehidupan manusia agar lebih tenang, terarah dan dekat kepada ALLAH SWT.
"Surah al-Fatihah yang dibaca 17 kali sehari dalam solat adalah pembuka kehidupan yang membantu menghilangkan kesedihan dan kekecewaan.
"Bismillah pada ayat pertama mengingatkan kita untuk sentiasa memohon bantuan dan keberkatan ALLAH SWT dalam setiap perkara. Dengan ucapan Bismillah, hati menjadi lebih yakin bahawa ALLAH SWT menjaga dan melindungi kita.
"Ucapan Alhamdulillah pula merangkumi segala puji kepada ALLAH SWT atas nikmat-Nya yang tidak berbatas. Jika kita berasa tidak dihargai, ingatlah bahawa pujian adalah milik ALLAH SWT. Kesedaran ini menjadikan hati lebih tenang,” katanya.
Hospital Selayang #QuranHour: #SavingTheUmmah merupakan program anjuran Persatuan Kebajikan Warga Islam Hospital Selayang dan Hospital Mesra Ibadah dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah serta al-Baqarah dipimpin qari, Halim Zainuddin dan disusuli sesi tadabbur oleh Muhammad Faiz.
Mengulas lanjut, menurut Muhammad Faiz, Surah al-Baqarah menyebut tentang kitab bermaksud sesuatu tersusun sebagai rujukan dan panduan kehidupan yang ditetapkan ALLAH SWT.
"Ia adalah panduan lengkap untuk menjadikan manusia berjaya, baik di dunia mahupun akhirat. Manakala Surah al-Saff bermaksud saf atau barisan kita bekerja untuk ALLAH SWT.
"Selain manusia, semua yang di langit dan di bumi bertasbih. Dalam surah tersebut, ALLAH SWT mengingatkan orang beriman untuk bercakap dan perbuatan perlu seiring.
"Surah al-Dhuha menekankan sabar menghadapi ujian. Surah ini yang diturunkan selepas tempoh wahyu terhenti menenangkan hati Rasulullah SAW dengan jaminan bahawa kesudahan lebih baik daripada permulaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, jurulatih, Jamil Wahab menerusi sesi kedua program berkonsepkan podcast iaitu Soul Fitness & Wellness #Quran berkata, perkataan ‘me time’ tidak bermaksud diri berseorangan, namun ALLAH SWT sentiasa bersama.
"Masa tersebut perlu dimanfaatkan untuk kita mendekati al-Quran. Ayat empat Surah al-Dhuha, ALLAH SWT menjanjikan sesungguhnya kesudahan lebih baik daripada permulaan iaitu kesukaran dialami Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah.
"Dalam hidup ini, kita perlu ada tujuan yang jelas untuk dicapai. Sekiranya ada ujian, kita mudah menguruskannya. Jadilah diri kita yang memberi manfaat kepada orang lain,” ulasnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah yang juga pakar bius, Dr Mohd Nor Azri Abdul Wahab berkata, pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan mental, namun memupuk nilai positif warga kerja.
"Al-Quran sebagai panduan menyuntik semangat warga kerja untuk terus berbakti dengan ikhlas. Ia menyuburkan suasana spiritual yang harmoni di tempat kerja,” katanya.
WUIF menganjurkan program #QuranHour: #SavingTheUmmah di pelbagai organisasi sebagai langkah kesinambungan projek Quran Corner dan penyebaran al-Quran wakaf hasil sumbangan orang ramai.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Warga Islam Hospital Selayang, Syed Ahmad Asri Syed Alwi berkata, program ini merupakan sebahagian pengisian Wacana Minda yang diadakan setiap bulan di hospital.
Menurutnya, melalui sesi tadabbur ini, peserta didedahkan cara berinteraksi dengan al-Quran melalui kaedah baca, faham, dan amal.
Bagi penyelia Jururawat, Rohaya Abdul Ghani pula berkata, berdasarkan perkongsian ilmu oleh panelis, dia berasa lebih bersyukur dengan kerjaya sekarang yang boleh dijadikan ibadah untuk mendapat ganjaran baik di dunia dan akhirat.
Penyelia Jururawat, Nora Misran berkata, al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu digali untuk memahami isi kandungannya melalui tadabbur.
"Tugas yang digalas sekarang memang banyak cabaran. Dengan meningkatkan nilai kesabaran dan syukur, ia membuatkan kerja jadi lebih ikhlas,” ujarnya-
Pembantu Keselamatan, Noorliyana Zaini mengakui pada awalnya dia menyertai program #QuranHour untuk memahami Surah al-Fatihah tetapi ia membuka mata mengenai kepentingan memahami al-Quran sebagai panduan kehidupan.
Katanya, membaca Bismillah dalam setiap perkara menyentuh hati untuk mengamalkannya dan ingin dikongsikan dengan keluarga.