JOHOR BAHRU - Dua lelaki warga asing cedera dengan seorang daripadanya patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran tiga unit rumah kedai di Jalan Utama, Senai di sini pada Ahad.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.38 pagi.
Menurutnya, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT), satu Nissan UD, Proton Arena Pasukan Bomba Sukarela (PBS), dua unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dua jentera utiliti dengan 42 anggota dari BBP Bandar Baru Kulai, Kulai, Skudai, Kempas dan Senai dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi, didapati kebakaran melibatkan bangunan tiga lot kedai dua tingkat berstruktur kekal.
"Terdapat dua mangsa lelaki warga asing. Seorang mengalami kecederaan patah kaki semasa cuba menyelamatkan diri dan seorang lagi tidak dapat dipastikan kecederaannya,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Sri Maharaja, Tun Ibrahim, Kulai, bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, kebakaran telah memusnahkan hampir 90 peratus bagi setiap lot kedai terbabit.
"Operasi terkawal pada jam 10.50 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang," katanya.