SEREMBAN - Ahli Barisan Nasional (BN) perlu mempunyai semangat berpasukan dan tidak bertindak melemahkan parti sendiri sekiranya tidak mahu lagi kecundang seperti mana pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan PRU15.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana ketika itu ada pemimpin yang didapati 'menendang bola di dalam gol sendiri'.
"Permasalahan yang timbul pada PRU14 dan PRU15 apabila ramai 'pemain' yang sepatutnya ada semangat sepasukan, tendang bola dalam gol sendiri.
"Saya tak sebut nama sesiapa, sama ada masih hidup atau mati. Tapi hakikatnya kita mesti berperanan di posisi masing-masing sebagaimana pemain dalam pasukan bola sepak agar kemenangan berpihak kepada kita," katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan di sini pada Ahad.
Selain itu, beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pandangan dan pendapat kepimpinan BN termasuk barisan menteri daripada parti itu juga perlu diberikan perhatian selain tidak ada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN 'menyeberang' ke parti lain.
Ujarnya, BN akan terus memberikan komitmen iaitu untuk bersama Kerajaan Perpaduan dan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU16.
"Saya ingin nyatakan bahawa kerjasama UMNO dan BN dengan Kerajaan Perpaduan adalah sehingga PRU16.
"Oleh yang demikian bagi menyantuni rakyat dan mewujudkan kerajaan yang stabil, sila dengar pendapat-pendapat dari menteri-menteri yang mewakili BN.
"Jangan ada usaha untuk membawa mana-mana bagi menyeberang, kerana soal kesetiaan adalah perkara utama di dalam kepimpinan UMNO, menyantuni rakyat dan kekal setia dalam parti adalah prinsip utama kita berparti,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berpuas hati dengan prestasi diberikan menteri-menteri BN ketika ini.
"Setakat ini atas pemerhatian, semua menteri dalam BN telah berikan prestasi yang terbaik dan saya ucapkan terima kasih, sebab kita mempunyai pengalaman mentadbir yang lama dan dewasa sebagai kerajaan.
"Cuma ada seorang itu yang berhajat untuk ‘menyeberang’ kita cari tempat lain untuk bincang,” katanya.