Bukit Golan bukti ketamakan Israel

Iklan
Kereta kebal milik Israel menceroboh garisan gencatan senjata di Bukit Golan pada 8 Disember lalu.

TEL AVIV - Israel meneruskan rancangan jahat untuk merampas Bukit Golan yang merupakan sebahagian wilayah Damsyik, berkeluasan kira-kira 1,800 kilometer persegi yang diduduki Tel Aviv sejak 1967.

Kawasan yang menjadi pertikaian itu yang menghadap empat negara termasuk Syria, Lubnan dan Jordan dianggap sebagai kedudukan tentera yang strategik.

Iklan
Iklan

Demi merealisasikan pelan rampasan itu, rejim Tel Aviv telah memperuntukkan lebih AS$11 juta (RM49.6 juta) kononnya untuk menggalakkan pertumbuhan demografi di Bukit Golan.

Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi alasan mahu menambah populasi pendatang haram Yahudi di kawasan tersebut setelah ia sewenang-wenangnya mengisytiharkan Bukit Golan sebagai 'milik Israel selama-lamanya'.

Iklan

Tel Aviv melihat kawasan itu sebagai aset penting untuk keselamatan negara kerana dataran tinggi tersebut didakwa memberi kelebihan kepada rejim Zionis berbanding Damsyik, Beirut dan Amman.

Pasukan tentera Israel ditempatkan di kawasan Syria melangkaui zon bebas tentera yang dimeterai lima dekad lalu.

Kempen pencerobohan dilancarkan Israel ke atas zon penampan di selatan Syria pada 8 Disember lalu telah meruntuhkan gencatan senjata yang berkuat kuasa selama setengah abad.

Iklan

Zionis bukan hanya menceroboh kawasan Gunung Hermon di kawasan Bukit Golan malah menempatkan pasukan tentera dengan menubuhkan satu lagi zon penampan secara unilateral.

Israel mempertahankan operasi ketenteraan itu atas alasan pertukaran kerajaan susulan kejatuhan rejim presiden digulingkan, Bashar al-Assad untuk membatalkan gencatan senjata dan memberi alasan tentang keperluan meneutralkan potensi ancaman daripada kerajaan sementara yang kini memimpin Syria.

Kemaraan pasukan tentera Israel ke bahagian timur Bukit Golan yang didakwa Netanyahu sebagai kedudukan pertahanan sementara itu bagaimanapun mencetuskan kecaman komuniti antarabangsa terutamanya negara Teluk.

Gencatan senjata runtuh

Tiada negara mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan sehingga Mac 2019 apabila Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara unilateral menyokong sekutu kuatnya dengan mengisytiharkan kawasan itu sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Syria telah berulang kali menuntut pengunduran Zionis dari kawasan tersebut, namun ia enggan berganjak kononnya atas faktor keselamatan.

Ketika Perang Arab-Israel pada 1973, Damsyik pernah cuba merampas semula Bukit Golan, tetapi gagal dan membawa kepada kesepakatan untuk memeterai perjanjian gencatan senjata, setahun selepas itu.

Sejak lima dekad lalu, Bukit Golan secara relatif 'agak tenang' sebelum Israel menghebahkan rancangan kontroversi untuk merampas seluruh kawasan tersebut.

Pada tahun 2000, Tel Aviv dan Damsyik pernah mengadakan rundingan peringkat tertinggi tentang pelaksanaan pelan damai, tetapi dialog tersebut tergendala.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa ahli politik Israel telah menzahirkan bantahan berhubung pelan peluasan kawasan penempatan haram Yahudi tersebut.

Antaranya, bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert yang berpendapat beliau tidak melihat sebarang alasan munasabah kepada Israel untuk berbuat demikian.

"Netanyahu maklumkan Tel Aviv tidak berniat mahu meneruskan konfrontasi dengan Syria dan kami berharap tiada rancangan untuk berperang dengan kerajaan baharu tersebut.

"Tetapi, mengapa beliau bertindak sebaliknya? Kita sudah ada banyak masalah lain untuk ditangani,” sindirnya. - Agensi

Info

Kira-kira 31,000 pendatang Yahudi mendiami kawasan di Bukit Golan yang turut menjadi tempat tinggal kira-kira 24,000 puak minoriti Arab, Druze yang taat setia kepada rejim Assad. Selepas menduduki Bukit Golan, Israel pernah menawarkan hak kerakyatan kepada mereka, namun tawaran itu ditolak dan kebanyakannya masih warga Syria.

Kawasan Pemisahan (zon bebas tentera) terletak kira-kira 400 kilometer (km) persegi antara kedudukan tentera Syria dan Israel.

Perjanjian pemisahan dimeterai pada 31 Mei 1974 menubuhkan Garisan Alpha di bahagian barat Kawasan Pemisahan pada kedudukan tentera Israel manakala Garisan Bravo di bahagian timur adalah had jarak tidak boleh dilangkaui tentera Syria.

Lokasi seluas 25km di luar Kawasan Pemisahan di kedua-dua bahagian digelar sebagai 'Kawasan Dihadkan' yang mengenakan sekatan terhadap jumlah penempatan anggota tentera dan jenis senjata yang boleh ditempatkan di zon tersebut.

Terdapat satu titik lintasan antara Israel-Syria yang digunakan anggota Pasukan Pemerhati Pemisah PBB (UNDOF), sejumlah orang awam Druze dan untuk laluan pengangkutan hasil pertanian.

Sejak perang saudara tercetus di Syria pada 2011, bahagian Syria di di wilayah Quneitra itu pernah dikawal puak penentang rejim Assad sebelum dirampas semula oleh tentera kerajaan yang disokong Rusia pada 2018.