AKADEMI Muaythai Kuala Lumpur (KLMA) optimis untuk membangunkan bakat muda dalam sukan tempur itu menerusi kerjasama strategik dengan kelab-kelab di Lembah Klang dan peringkat zon di seluruh negara.
Presidennya, Sarjan Fazlie Adni berkata, kolaborasi tersebut melibatkan lebih 250 petinju bermula pada usia tujuh hingga 20 tahun dari lima kelab di Lembah Klang dan tujuh persatuan negeri di Utara dan Selatan tanah air.
Beliau berkata, penyatuan kelab-kelab tersebut sebagai usaha untuk menyelaraskan sistem kejurulatihan, model latihan, teknik petinju dan permakahan.
"Kerjasama ini telah mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Muaythai Malaysia bagi merancakkan lagi sukan muay thai untuk mencungkil bakat baharu.
"Jika semua berjalan lancar program ini akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak selain meningkatkan penyertaan beberapa kelab muay thai di Semenanjung.
"Malah bagi memudahkan pengurusan dan pemasaran gagasan ini akan dikenali sebagai 'one muaythai order',” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Kelab muay thai di Lembah Klang yang bernaung di bawah KLMA ialah APD Anak Rimau, Black Turtle, Raja Lebah, Raja Kapak dan Paroi B.C.
Turut menyertai gabungan tersebut adalah Kuala Lumpur Muaythai Academy (KL), Akademi Muaythai Pahang (Kuantan) dan Kelab Muaythai Amer warrior (Besut,Terengganu).
Persatuan lain ialah Kelab Muaythai Pahlawan Melaka, Kelab Bullet Muaythai (Gemas, Negeri Sembilan), Kelab Muaythai Seladang Hitam (Taiping, Perak) dan Kelab Muaythai Red Fire (Padang Serai, Kedah).
Fazlie menjelaskan bahawa kelab di Lembah Klang diletakkan di bawah satu tempat latihan serta pengurusan dan beroperasi di Taman Desa Bakti Kuala Lumpur dengan penyertaan kira-kira 70 petinju.
Beliau juga merancang untuk mengadakan program pertukaran petinju antara kelab menerusi latihan berskala besar di venue berbeza bagi membiasakan mereka dengan keadaan dan suasana berlainan.
Malah pihaknya juga akan menjalinkan kerjasama dengan kelab-kelab di luar negara khususnya Thailand yang merupakan hub muay thai terbesar di dunia.
"Ia bagi membolehkan petinju berdikari dan menjalani rutin harian yang lebih berdisiplin bermula dari umur yang lebih muda di peringkat awal.
"Pemilihan kelab-kelab mengikut zon juga bagi memudahkan urusan jika ada sebarang kejohanan yang disertai oleh kelab terlibat dalam tadbir urus membantu sama lain dan dijadikan sebagai kelab angkat untuk petinju,” katanya.